JANS didesak tangani masalah air dengan segera
top of page
  • Wartawan Nabalu News

JANS didesak tangani masalah air dengan segera


6 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) digesa untuk menangani isu masalah bekalan air yang masih berlarutan sehingga hari ini.


Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah David Chan berkata, pihaknya banyak menerima aduan bahawa masalah keperluan asas tersebut telah mengganggu kehidupan harian mereka.


“Kita meminta supaya pihak Jabatan Air Sabah prihatin dan mengambil serius isu ini kerana pengguna kini keletihan akibat sering berhadapan masalah air sejak Covid-19 bermula, air adalah penting untuk kehidupan seharian kita, terutamanya apabila kita menjaga orang sakit di rumah. 


“Mereka yang bertanggungjawab perlu melihat dengan serius masalah-masalah yang timbul kerana selepas tiga tahun berhadapan dengan Covid-19 kita masih menghadapi masalah yang sama tanpa diperbetulkan,” katanya. 


Beliau berkata, pengguna bimbang apakah pelan kontingensi Jabatan Air Sabah dalam menangani isu berkenaan bagi jangka masa pendek dan jangka masa panjang.


“Baik dalam kalangan orang awam, suri rumah serta peniaga restoran dan penjual makanan mengadu kehidupan dan perniagaan mereka terjejas akibat bekalan air sering terputus.  


“Jabatan Air Negeri Sabah perlu berbincang dengan kerajaan negeri dan Kerajaan Perpaduan yang baharu bagi mengatasi masalah bekalan air yang dialami rakyat di negeri ini,” tambah beliau.


Katanya, paling terkesan ialah golongan warga emas serta mereka yang menjaga orang sakit di rumah amat memerlukan bekalan air bersih yang stabil.


bottom of page