JAS mahu kilang kelapa sawit patuhi syarat lesen
top of page
  • Wartawan Nabalu News

JAS mahu kilang kelapa sawit patuhi syarat lesen

23 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah menegaskan bahawa semua kilang kelapa sawit (KKS) di negeri ini perlu mematuhi syarat-syarat lesen yang dikeluarkan di bawah Akta Alam Sekitar (AKAS) 1974.


Menurut Pengarah JAS Sabah, Amirul Aripin, KKS perlu dilesenkan di bawah Seksyen 18(1) AKAS 1974 dan tertakluk kepada syarat-syarat Seksyen 16(1) akta yang sama.


Beliau berkata, ini adalah bagi mengelakkan sebarang insiden pencemaran alam sekitar yang boleh berlaku akibat daripada operasi KKS.


"Kita ada kes-kes di mana benteng kolam rawatan efluen KKS mengalami kebocoran atau limpahan yang menyebabkan kandungan efluen masuk ke alur air dan mencemarkan sungai-sungai di sekitarnya," katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Pemantapan Industri Sawit Ke Arah Kelestarian Alam Sekitar 2023 yang dihadiri oleh 200 peserta dari industri sawit di sini, baru-baru ini.


Beliau turut menyatakan bahawa terdapat juga kes-kes di mana KKS gagal menyelenggarakan unit proses di sistem pengolahan efluen atau alat kawalan pencemaran udara yang menyebabkan had pelepasan tidak dipatuhi.


"Disebabkan ketidakpatuhan ini, JAS terpaksa mengambil tindakan perundangan terhadap KKS yang melanggar AKAS 1974 dan peraturan-peraturan yang berkaitan," jelasnya.


Amirul juga menasihati semua KKS supaya memahami dan melaksanakan syarat lesen dengan baik dan berkesan bagi memastikan operasi mereka tidak menjejaskan kualiti alam sekitar.


"JAS ibu pejabat sedang dalam proses meminda AKAS 1974 termasuklah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Premis Yang Ditetapkan) (Minyak Kelapa Sawit Mentah) 1977 dan pihak industri perlu bersedia sekiranya akta serta peraturan baru ini digazetkan," ujarnya.


Beliau turut memaklumkan bahawa JAS telah membawa beberapa KKS ke mahkamah dan mereka telah dijatuhi hukuman mengikut tahap kesalahan mereka. Beliau juga berkata bahawa JAS telah menggantung lesen operasi beberapa KKS sehingga mereka membuat penambahbaikan yang diperlukan.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page