Jasa dan pengorbanan anggota keselamatan wajar terus diingati
- nabalunews
- Jul 31, 2025
- 2 min read

31 Julai 2025
SANDAKAN: Jasa dan pengorbanan anggota pasukan keselamatan yang telah menjaga keamanan dan kelestarian negara wajar terus diingati.
Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kenson, berkata, ia penting agar generasi muda juga tidak mudah lupa akan sumbangan berkenaan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media sejurus menghadiri Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Daerah Sandakan di Dewan Masyarakat Sandakan pada Khamis.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung, ADUN Elopura, Calvin Chong Ket Kiun, ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, ADUN Sekong, Alias Sani, ADUN Sabah, Datuk Jaffari Waliam dan Pemimpin setempat yang lain serta barisan pasukan keselamatan dan badan bukan kerajaan (NGO) di Sandakan.
Sambutan setiap 31 Julai itu diadakan untuk mengingati jasa dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan kita yang telah menjaga sempadan dan keselamatan negara semasa perang konfrantasi dan juga darurat suatu ketika dahulu.
"Amat penting untuk kita meraikan sambutan ini setiap tahun bagi membawa mesej dan menyampaikan maklumat kepada generasi baru berapa pentingnya menjaga keselamatan negara," jelasnya.
"Dan bagi saya menjaga keselamatan negara yang paling berkesan adalah kerjasama yang baik antara rakyat dan juga anggota keselamatan," tambahnya.
Ujar beliau, yang paling penting lagi ialah menjaga perpaduan dan keserasian antara semua penduduk sebagai satu benteng yang paling utama bagi menjaga keselamatan negara.
Dalam perkembangan sama, jelasnya, salah satu elemen yang paling penting yang pihaknya tekankan di Sandakan ini ialah keselamatan kerana daerah ini juga berada di perairan dan juga sempadan.
"Maka itulah betapa pentingnya kerjasama erat antara pentadbiran MPS dan juga anggota-anggota keselamatan di daerah Sandakan," jelasnya.
"Dan kita memang menjaga dan mengekalkan hubungan yang sangat erat bagi menjaga keselamatan ini," tambahnya.
Walter menyeru kepada masyarakat di daerah Sandakan ini supaya sentiasa memberi maklumat, melaporkan apa-apa keadaan yang menjejaskan dan juga memberi impak kepada keselamatan untuk melaporkan dengan segera kepada anggota keselamatan dan juga pentadbiran.
"Ini amat penting kerana anggota keselamatan memerlukan maklumat daripada akar umbi yang mengetahui masalah dan juga maklumat utama yang diperlukan bagi keselamatan di daerah ini," jelasnya lagi.


















Comments