Jawatankuasa Khas Kaji Penambahan Kerusi Parlimen Sabah, Sarawak

26 Sept 2026
KOTA KINABALU: Satu jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MA63 akan diwujudkan bagi mengkaji penambahan kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata, pertemuan pertama antara Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak (BHESS) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah diadakan bagi membincangkan kaedah penambahan bilangan kerusi berkenaan.
"Walau bagaimanapun, perbincangan itu bukanlah perbincangan yang terperinci dan kita hanya dapatkan gambaran awal.
"Namun, yang pentingnya kita mahu tekankan ialah kita mahu beri maklumat kepada pihak SPR peningkatan ini bukan peningkatan biasa maknanya bukan kita tingkatkan bilangan kerusi di Sabah dan Sarawak sahaja tetapi pada masa yang sama juga ada peningkatan kerusi di Semenanjung.
"Pihak SPR menjelaskan mereka perlu kajian terperinci dan sebenarnya sudah ada kaedah-kaedah, sudahpun ada kajian-kajian yang telah dibuat.
"Oleh itu, saya minta supaya satu jawatankuasa khas di bawah Jawatankuasa Teknikal MA63 diwujudkan khusus untuk membincangkan tentang peningkatan bilangan kerusi untuk Sabah dan Sarawak.
"Nisbah pembahagian ini perlu betul kerana kita tidak mahu apapun dasar yang diputuskan di negara ini hanya sepihak sahaja boleh putuskan.
"Kita mahu supaya representasi ahli-ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak ini ditambah supaya kita boleh membawa suara Sabah dan Sarawak dalam menentukan dasar-dasar penting negara ini," katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Forum Buku "The Transformative Integrated Living Lab (TILL): From Philosophy to Practice" sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu (PABKK) di sini, pada Sabtu.
Dalam pada itu, mengulas mengenai pelancaran buku berkenaan, Mustapha berkata ia merupakan satu pencapaian yang amat baik daripada Universiti Malaysia Sabah (UMS) kerana berjaya membukukan hasil usaha yang berkaitan dengan makmal hidup atau The Living Lab.
"Buku ini merupakan hasil tulisan dan kajian yang dilaksanakan sendiri oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Prof. Ir. Dr. Rosalam Sarbatly dan kita harap usaha ini akan menjadi model kepada universiti lain.
"Melalui penghasilan buku ini, kita boleh berkongsi kisah kejayaan ini dengan negeri-negeri lain serta dipasarkan di peringkat antarabangsa," tambahnya.
Beliau berharap dengan penerbitan buku berkenaan dapat membantu masyarakat luar mengenali Sabah dengan lebih baik kerana buku tersebut memaparkan kekayaan biodiversiti di negeri ini.
Hadir sama, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor, Pengarah Perpustakaan Negeri Sabah, George Yih Ching Yaw dan Pengarah Penerbit UMS, Profesor Dr. Patricia Matanjun./Penerangan-















Comments