Jeffrey cuba kaburi kegagalan perjuangan MA63 dengan cadangan perjanjian baru: Carlye
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jeffrey cuba kaburi kegagalan perjuangan MA63 dengan cadangan perjanjian baru: Carlye



5 Julai 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Bahagian Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Kota Belud Carlye Lajimin berkata, kenyataan Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan bahawa Sabah dan Sarawak bukan berada pada kedudukan yang tidak mempunyai suara untuk bersetuju atau tidak dalam Perjanjian Malaysia (MA63) hanya mengaburi kegagalan memperjuangkan MA63 dengan cadangan perjanjian baru.


Carlye berkata, ini kerana salah satu fungsi Suruhanjaya Cobbold ialah menjalankan pungutan dan menentukan pandangan rakyat Sabah dan Sarawak sama ada menyokong cadangan untuk membentuk Persekutuan Malaysia atau sebaliknya.


“Pilihanraya yang dirujuk dengan meluasnya sebagai referendum sokongan rakyat terhadap penyertaan Sabah dalam pembentukan Malaysia juga telah dilaksanakan pada November 1962 di mana Parti Perikatan yang bertanding atas platform Malaysia menang besar bagi menandakan sambutan Sabahan pada idea Malaysia.


“Menjelang 16 September 1963, satu pasukan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaksanakan satu kajian yang dipanggil "Fact Finding", dan pasukan ini berpuas hati dengan dapatan mereka yang menyokong kepada pembetukan Malaysia.


“Saluran tersebut sudah cukup untuk membuktikan bahawa apa yang dikatakan oleh Jeffrey mengenai Sabahan tidak mempunyai suara untuk bersetuju atau tidak adalah tidak benar sama sekali,” katanya, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang menyatakan bahawa Perjanjian Malaysia 1963 ditandatangani pada premis berbeza dan pada tempoh Sabah dan Sarawak tidak mempunyai suara untuk bersetuju atau tidak bersetuju dengan mana-mana terma dalam perjanjian itu.


Carlye berkata, MA63 telah melalui proses yang teliti walaupun dalam masa yang singkat dan kepentingan serta hak-hak Sabah jelas termaktub didalamnya.


“Apa yang diperlukan sekarang ialah kesatuan para pemimpin Sabah untuk menuntut pematuhan mana-mana hak yang dicabuli secara konsisten tanpa mengenal blok politik.


“Jadikan ianya sebagai objektif bersama dan bukannya objektif mendapatkan nama secara berseorangan,” katanya.


Beliau berkata, cadangan untuk memperkenalkan Perjanjian Malaysia Baharu bukan sahaja idea “teruk” tetapi juga menidakkan usaha dan pengorbanan pemimpin terdahulu merealisasikan MA63.


Sebelum ini Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar kepimpinan BN Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit.

bottom of page