top of page

Jelajah ANMS Sepanggar Galak Pembudayaan Hidup Sihat

  • nabalunews
  • Oct 4
  • 2 min read

ree

4 Oktober 2025


KOTA KINABALU: Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat Parlimen P.171 Sepanggar hari ini berlangsung dengan meriah melalui pelbagai pengisian aktiviti kesihatan, rekreasi serta jualan murah untuk masyarakat setempat.


Program anjuran Pejabat Kesihatan Kawasan (PKK) Kota Kinabalu dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Sepanggar merangkap Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.


Mustapha dalam ucapan perasmian berkata, penghargaan wajar diberikan kepada kepada JKNS dan barisan petugas kesihatan atas komitmen berterusan meningkatkan taraf kesihatan rakyat di negeri ini.

ree

Katanya, usaha yang dilaksanakan bukan sekadar menaik taraf fasiliti dan menyediakan rawatan, malah turut memberi tumpuan kepada pembudayaan gaya hidup sihat dalam komuniti.


“Pelaksanaan ANMS termasuk jelajah seperti ini penting bagi mengubah paradigma masyarakat daripada sekadar sick care (penjagaan pesakit) kepada health care (penjagaan kesihatan).


“Ia juga mengukuhkan kerjasama strategik pelbagai pihak demi kesejahteraan kesihatan rakyat,” katanya.

ree

Menurutnya, ANMS berlandaskan pendekatan Whole-of-Nation yang menuntut penglibatan semua pihak melalui dasar Health in All Policies.


Katanya, pendekatan itu diyakini dapat memperkasa rakyat dalam pembudayaan hidup sihat dan mewujudkan persekitaran yang sejahtera.


“Jelajah ANMS menekankan enam tingkah laku utama kepada masyarakat, iaitu mengamalkan aktiviti fizikal, menjaga kesihatan minda dan hubungan sosial, pemakanan sihat, menjauhi tingkah laku berisiko seperti merokok dan penyalahgunaan bahan terlarang, menjaga kebersihan diri serta menjalani saringan kesihatan secara berkala.


“Usaha membudayakan hidup sihat ini adalah tanggungjawab bersama. Saya menyeru masyarakat agar mengambil peluang menjalani pemeriksaan kesihatan berkala dan menjadikan gaya hidup sihat sebagai amalan seharian,” katanya lagi.


Antara aktiviti yang diadakan sepanjang program termasuk Gotong-Royong One Hour Malaysia Clean-Up, senamrobik, sukan rakyat, saringan kesihatan, pertandingan mewarna kanak-kanak serta pelbagai aktiviti infotainment di reruai pameran.


Turut diadakan ialah Jualan Rahmah Bergerak, inisiatif Kerajaan MADANI bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan asas dengan harga lebih murah berbanding pasaran.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page