top of page

Jentera Pilihan Raya Upko Tanjung Aru Siap Siaga Hadapi Prn17

  • nabalunews
  • Jul 1
  • 2 min read

1 July 2025


KOTA KINABALU: Jentera Pilihan Raya Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Aru kini siap siaga sepenuhnya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.


Timbalan Pengarah Jentera UPKO Tanjung Aru, Panil Jibul, berkata seluruh jentera parti telah digerakkan secara tersusun dan strategik, merangkumi semua peringkat akar umbi.


Katanya, sejak lebih dua tahun lalu, jentera UPKO Tanjung Aru telah melaksanakan pelbagai inisiatif masyarakat termasuk program kebajikan, kursus kemahiran, kerja amal serta pengagihan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Dennison R. Indang
Dennison R. Indang

“Gerak kerja konsisten ini telah memperkukuhkan kehadiran UPKO di lapangan serta mengeratkan hubungan dengan penduduk setempat.


“Program-program turun padang yang dipimpin oleh Bendahari Agung UPKO, Dennison R. Indang telah memberikan impak yang nyata kepada komuniti di seluruh DUN Tanjung Aru yang merangkumi kawasan Tanjung Aru, Sembulan dan Pulau Gaya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.


Panil berkata, maklum balas daripada masyarakat setempat mencerminkan hasrat untuk melihat kepimpinan baharu yang lebih dekat dengan rakyat.

“Ramai berpandangan bahawa sudah tiba masanya pemimpin muda seperti Dennison diberi peluang untuk membawa suara Tanjung Aru ke peringkat yang lebih tinggi.


“Dengan pendekatan mesra rakyat dan kerjasama erat antara ahli parti, UPKO Tanjung Aru yakin mampu memberikan cabaran yang kukuh dalam PRN akan datang sekiranya diberikan mandat oleh pucuk pimpinan.


“Mengangkat slogan “#DemiPerjuangan”, UPKO Tanjung Aru kini tampil sebagai simbol harapan baharu kepada masyarakat pinggir bandar yang mengimpikan perubahan sebenar,” katanya.


Sementara itu, Denisson berkata, beliau percaya kawasan ini mempunyai potensi besar dalam sektor pelancongan yang jika dimajukan secara bersepadu.


Katanya, beliau percaya ia boleh merangsang ekonomi setempat dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.


“Saya amat komited untuk memperkasa perniagaan berasaskan komuniti, khususnya melalui sokongan kepada peniaga tempatan dan platform koperasi.


“Kita perlu mencipta nilai ekonomi baharu yang berpaksikan rakyat. Melalui koperasi dan perniagaan komuniti, kita boleh membuka lebih banyak peluang dan memperkukuh keupayaan ekonomi setempat secara mampan,” katanya.


Dennison juga percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama yang mampu membantu dan memutuskan kitaran kemiskinan khususnya di kawasan bandar.


“Kami sangat aktif menyokong program bantuan persekolahan, latihan kemahiran, serta inisiatif yang meningkatkan daya saing anak muda.


“Jika kita mahu masa depan yang lebih cerah untuk generasi seterusnya, pelaburan dalam pendidikan tidak boleh dikompromi,” tegasnya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page