top of page

JKDM Terus Perkasa Kutipan Hasil Dan Penguatkuasaan

  • nabalunews
  • 29 minutes ago
  • 1 min read

13 Februari 2026


KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terus memainkan peranan strategik dalam menyokong agenda reformasi fiskal negara serta memastikan kelestarian kewangan Kerajaan Persekutuan melalui peningkatan prestasi kutipan hasil dan pemerkasaan aspek penguatkuasaan.


Ketua Pengarah Kastam, Datuk Anis Rizana Mohd Zainuddin berkata, sebagai agensi utama dalam kutipan hasil negara, JKDM melaksanakan fungsi tersebut secara berterusan.


Selain itu katanya, ia juga bagi memudah cara perdagangan yang cekap dan berintegriti selari dengan komitmen Kerajaan untuk memastikan kestabilan ekonomi negara serta kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.


“Dalam masa yang sama, JKDM turut memperkukuh peranan penguatkuasaan bagi melindungi masyarakat daripada ancaman penyeludupan, perdagangan haram dan aktiviti yang menjejaskan keselamatan serta hasil negara.


“Pendekatan bersepadu ini mencerminkan keupayaan JKDM menyeimbangkan aspek fasilitasi dan penguatkuasaan secara berkesan,”’katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah, di sini, hari ini.


Anis Rizana berkata, bagi tahun 2025, JKDM mencatatkan prestasi cemerlang apabila berjaya merekodkan kutipan hasil berjumlah RM76.18 bilion.


“Jumlah ini bukan sahaja melepasi unjuran awal yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan Malaysia sebanyak RM67.25 bilion, malah turut mengatasi unjuran yang telah disemak semula kepada RM73.26 bilion.


“Pencapaian itu juga menyaksikan lebihan kutipan sebanyak RM8.93 bilion, bersamaan 113.28 peratus berbanding unjuran awal tahun 2025, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pentadbiran, pematuhan cukai dan penguatkuasaan yang dilaksanakan oleh JKDM.


Menurutnya, secara keseluruhan, kejayaan ini mencerminkan komitmen berterusan JKDM dalam memperkukuh tadbir urus fiskal negara, menyokong pembangunan ekonomi yang mampan serta memastikan hasil negara dipelihara demi kepentingan rakyat dan negara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page