Jolyhame Saran Kekal Ketua Pemuda UPKO Kota Belud, 50 Peratus AJK Baharu
- nabalunews
- Jun 18
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
KOTA BELUD, 18 Jun – Mesyuarat Agung Tri-Tahunan Pemuda Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bahagian Kota Belud semalam meluluskan pembubaran dan pemilihan barisan Ahli Jawatankuasa (AJK) bagi penggal 2026-2029, dengan komposisi 50 peratus muka baharu serta mengekalkan Jolyhame Saran sebagai Ketua Pemuda.
Pemilihan yang berlangsung di Mini Dewan Pejabat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKADUN) Kadamaian, Bangunan Skyblue Piasau, Kota Belud itu turut menyaksikan kehadiran lebih 100 orang perwakilan dan diselia oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti UPKO Bahagian Kota Belud, Datuk Ginun Yanggus.

Selain Jolyhame, beberapa jawatan utama turut kekal, antaranya Timbalan Ketua Pemuda, Aaron Guramon dan Naib Ketua Pemuda 1, Dr. Rizoh Bosorong. Datuk Ginun Yanggus seterusnya mengumumkan senarai lengkap barisan AJK baharu yang bakal menerajui sayap belia parti bagi tempoh tiga tahun akan datang.
Turut hadir memerhati mesyuarat agung tersebut ialah wakil EXCO Pemuda UPKO Pusat merangkap Ketua Pemuda UPKO Kota Marudu, Pillexson James serta Pengerusi Tetap Pemuda Pusat, Jamil Majingkin.
Dalam ucapan selepas pengumuman keputusan pemilihan, Jolyhame mengucapkan tahniah kepada semua AJK baharu dan merakamkan penghargaan kepada barisan lama atas kerjasama sepanjang penggal lalu.
Beliau menegaskan bahawa segala perancangan dan visi Pemuda sebelum ini akan diteruskan serta diperkukuhkan bagi memastikan kesinambungan agenda pembangunan belia di bahagian tersebut.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua ketua pemuda cawangan UPKO di seluruh Kota Belud agar terus komited memantapkan kawasan masing-masing dari segi pembangunan belia, selaras dengan visi dan misi Presiden Parti, Datuk Ewon Benedick, demi memperkasa peranan Pemuda UPKO dalam arus pembangunan negeri dan negara.















Comments