top of page

JPAS Hasilkan Enam Modul Perkukuh Pendidikan Alam Sekitar di Sabah

  • nabalunews
  • 3 days ago
  • 2 min read

11 Jun 2026


KOTA KINABALU : Jabatan Perlindungan Alam Sekitar (JPAS) berjaya menghasilkan enam modul pendidikan alam sekitar bagi memperkukuh penyampaian pendidikan alam sekitar di Sabah.


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Jafry Ariffin berkata, JPAS berjaya menyiapkan kajian penyediaan Bahan Pendidikan dan Laporan Amalan Terbaik Pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah pada April 2025.


"Hasil daripada kajian tersebut, sebanyak enam modul pendidikan alam sekitar telah dibangunkan meliputi aspek air, penggunaan tanah, pengurusan sisa, tenaga, perubahan iklim serta komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA).


"Selain itu, turut dihasilkan Dokumen Amalan Terbaik Pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sabah, dua permainan papan pendidikan iaitu 'EcoExplorers' dan 'Ecopolitan' serta video kesedaran perubahan iklim.


"Usaha ini amat signifikan dalam memperkukuh penyampaian pendidikan alam sekitar agar lebih seragam, interaktif, berimpak tinggi dan mudah diakses oleh pelbagai lapisan masyarakat.


"Bahan-bahan yang dibangunkan ini bukan sahaja menjadi sumber rujukan yang bernilai, malah dapat dimanfaatkan dalam pelbagai aktiviti pembelajaran, penyelidikan dan program kesedaran alam sekitar," katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Bahan Pendidikan Alam Sekitar dan Laporan Amalan Terbaik Pelaksanaan Dasar Pendidikan Alam Sekitar Sempena Sambutan Alam Sekitar Sedunia 2026, di sini pada Khamis.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Dr. Andi Md Shamsureezal Mohd Saina.


Jafry turut menjelaskan JPAS mengambil langkah proaktif dan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi sebagai usaha memupuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan masyarakat di pelbagai peringkat.


"Antara program tersebut adalah Program Rakan Alam Sekitar (SERASI), penubuhan Sabah Environmental Education Network (SEEN) serta pelbagai kempen kesedaran dan Citizen Science yang melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat," jelasnya.


Menurut beliau, perlindungan alam sekitar kekal menjadi komitmen utama kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan ekonomi dan sosial dapat dilaksanakan secara seimbang dengan pemeliharaan alam sekitar.


"Pelaksanaan Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2017 serta Enakmen Perlindungan Alam Sekitar Sabah 2002 terus menjadi panduan strategik dalam usaha memelihara dan memulihara sumber asli negeri ini.


"Dalam hal ini, JPAS memainkan peranan penting dalam memastikan aspek alam sekitar diterapkan secara menyeluruh dalam perancangan dan pelaksanaan pembangunan, di samping menggalakkan penggunaan sumber asli secara mampan," ujarnya.


Beliau berharap semangat cinta alam sekitar terus dipupuk bagi kelestarian alam sekitar dapat diwariskan kepada generasi masa kini dan akan datang.


Pada majlis tersebut, bahan pendidikan alam sekitar turut diserahkan kepada ahli Sabah Environmental Education Network (SEEN) dan agensi-agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS) serta 15 buah sekolah rendah dan menengah.


Hadir sama, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Josie Lai dan Pemangku Pengarah, Jabatan Alam Sekitar Sabah, Daisy Aloysius./Penerangan-

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page