JPN Sabah Tahan Lelaki Beri Maklumat Palsu Untuk Kad Pengenalan
- nabalunews
- 39 minutes ago
- 1 min read

11 Februari 2026
KOTA KINABALU: Satu operasi penguatkuasaan telah berjaya dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasaan, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sabah, berikutan penahanan seorang lelaki yang disyaki memberikan maklumat palsu dalam urusan permohonan kad pengenalan.
Kejadian yang berlaku pada 4 Februari 2026 kira-kira jam 11.00 pagi di Pejabat JPN Kota Kinabalu itu membongkar kegiatan individu terbabit yang mendakwa dirinya sebagai bapa kandung kepada tiga pemohon berasingan, sedangkan maklumat tersebut tidak benar.
Menurut kenyataan rasmi JPN Sabah, kes tersebut kini disiasat mengikut Peraturan 25(1)(b), Peraturan-Peraturan Pendaftaran 1990 (Pindaan 2007) yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pihak JPN Sabah menegaskan bahawa jabatan itu sentiasa komited dalam menjaga kedaulatan dan integriti sistem pendaftaran negara. JPN Sabah juga menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk penipuan atau penyalahgunaan dokumen rasmi. Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba memanipulasi proses pendaftaran.
JPN Sabah turut mengingatkan orang ramai agar tidak terlibat dengan sebarang bentuk pemberian maklumat palsu atau menggunakan perkhidmatan pihak ketiga yang tidak sah dalam urusan berkaitan pendaftaran.
JPN Sabah mengalu-alukan maklumat daripada orang awam sekiranya memiliki sebarang pengetahuan mengenai aktiviti mencurigakan berkaitan pendaftaran negara melalui saluran rasmi jabatan.














