Jual, beli tenggiling satu kesalahan, boleh didenda sehingga RM250,000
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Jual, beli tenggiling satu kesalahan, boleh didenda sehingga RM250,000


7 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Orang ramai yang didapati menjual atau membeli tenggiling, boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 dan penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi lima tahun.


Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, ini kerana tenggiling antara yang disenaraikan sebagai haiwan dilindungi sepenuhnya selain tembadau dan orkid selipar.


Beliau berkata, haiwan atau tumbuhan itu disenaraikan dalam Jadual 1, Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997).


“Membeli tenggiling dengan niat untuk menyelamatkannya daripada dibunuh menunjukkan bahawa kesedaran orang awam sedang meningkat dalam menyayangi hidupan liar.


“Ia juga dilihat sebagai satu tindakan yang mulia, namun Jabatan Hidupan Liar (JHL) menyeru agar tindakan itu tidak dilakukan kerana ia akan lebih menggalakkan penjenayah hidupan liar memburu dan menjual tenggiling secara haram,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar “KK restaurateur pays RM200 to rescue pangolin” pada 4 April lalu.


Sehubungan itu Augustine menasihatkan orang ramai supaya tidak membeli haiwan atau tumbuhan yang dilindungi.


Beliau berkata, merujuk kepada Seksyen 48(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, membeli haiwan/tumbuhan yang dilindungi dibenarkan dengan syarat tertentu.


Namun katanya, seksyen ini tidak terpakai bagi hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya seperti Tenggiling, kecuali dengan kebenaran bertulis daripada Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar.


“Kami menghargai keprihatinan orang ramai yang sayang kepada hidupan liar tetapi, sebarang kejadian jenayah hidupan liar, hendaklah dilaporkan serta merta.


“Dengan cara tersebut sahaja, kita sama-sama dapat membanteras pemburuan haram,” katanya.

bottom of page