Jualan MADANI KUSKOP sempena 2TM catat jualan lebih RM670,000, potensi pembiayaan lebih RM50 juta
1 Disember 2024
KUALA LUMPUR: Jualan MADANI sempena sambutan 2 Tahun Madani (2TM) mencatatkan nilai jualan keseluruhan RM676,230.20 dan potensi jualan dan pembiayaan RM50,607,500.
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) daripada jumlah keseluruhan nilai jualan itu, Jualan Usahawan MADANI yang disertai 85 usahawan mencatatkan jualan sejumlah RM386,556.75.
Manakala Jualan Murah MADANI yang disertai enam pemain merekodkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak RM289,673.45.
Dalam tempoh tiga hari program 2TM (22-24 November 2024) Padan Niaga yang disertai 10 syarikat anchor dan biaya usahawan oleh 18 institusi pembiayaan pula mencatatkan potensi jualan dan pembiayaan sejumlah RM50,607,500.
Nilai keseluruhan jualan MADANI di Program 2TM itu melebihi nilai keseluruhan Jualan Mega Madani sempena Program Setahun Bersama Kerajaan Perpaduan pada 8 hingga 10 Disember 2023, di Stadium Bukit Jalil yang mencatat nilai jualan keseluruhan RM645,000 dan potensi padaniaga RM3,395,000.
Bahagian Pembangunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil (BKPPK) adalah peneraju jualan MADANI dalam program 2TM yang bertemakan ‘MADANI di Hati, Rakyat Disantuni’.
Selain Jualan MADANI, antara aktiviti lain yang disediakan untuk pengunjung di reruai KUSKOP ialah pameran produk Satu Daerah Satu Industri (SDSI), produk pemasaran dalam talian (MyMall), produk berorientasikan pelancongan dari setiap negeri (Kirana) di samping pendaftaran status Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corp dan pendaftaran Usahawan MyMall.
KUSKOP mengetuai Jawatankuasa Jualan Sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
Comentarii