Jururawat Denyut Nadi Sistem Kesihatan Negara — Dzulkefly
- nabalunews
- May 12, 2025
- 1 min read

12 Mei 2025
KOTA KINABALU: Jururawat bukan sekadar profesion, ia adalah denyut nadi kepada sistem kesihatan negara, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Sempena Hari Jururawat Sedunia hari ini, Dzulkefly menzahirkan penghargaan serta ucapan terima kasih kepada para jururawat di seluruh negara terhadap jasa dan pengorbanan yang diberikan.
Dzulkefly menyifatkan jururawat sebagai tonggak penting dalam sistem kesihatan yang bukan saja memberi rawatan, tetapi juga mencurahkan kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan tanpa mengharapkan balasan.

“Saya tahu, di sebalik senyuman yang kalian berikan kepada pesakit, ada penat lelah yang tersimpan rapi. Di sebalik seragam putih itu, ada insan yang kuat, sabar dan sentiasa menghulurkan bantuan.
“Tanpa kalian, tiada erti penjagaan, tiada erti pemulihan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Katanya tema sambutan tahun ini, "Our Nurses. Our Future. Caring for Nurses Strengthens Economies", bukan sekadar slogan tetapi peringatan bahawa menjaga kebajikan jururawat bermakna menjaga kelangsungan perkhidmatan kesihatan serta kesejahteraan negara.
Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi hantaran di Facebook berkata tema itu mengingatkan bahawa kebajikan dan sokongan kepada jururawat bukan sahaja penting untuk sistem kesihatan mampan, tetapi juga memainkan peranan utama dalam pertumbuhan dan kestabilan ekonomi negara.
“Jururawat adalah tulang belakang sektor kesihatan, mereka menjaga yang sakit, memberi semangat kepada yang lemah, dan sentiasa hadir dalam detik paling mencabar,” menurutnya.
Justeru itu, katanya, jururawat wajar diberi penghargaan atas komitmen dan dedikasi mereka dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan berterusan serta sumbangan signifikan terhadap ekonomi melalui sistem kesihatan yang kukuh dan perlindungan kesihatan sejagat.
“Terima kasih kepada semua jururawat atas pengorbanan dan kesetiaan mereka. Semua jururawat adalah aset yang sangat berharga kepada masyarakat Malaysia,” katanya.


















Comments