top of page

Sindiket Curi Kabel TM Tumpas di Tambunan

  • nabalunews
  • 6 minutes ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


4 Mac 2026


KENINGAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau berjaya menumpaskan satu sindiket yang aktif melakukan khianat terhadap infrastruktur telekomunikasi awam dengan penahanan empat lelaki tempatan, awal pagi tadi.


Dalam operasi khas sekitar jam 2.30 pagi di Kampung Mogong Tangaban, Tambunan, semua lelaki yang berusia lingkungan 29 hingga 49 tahun itu ditahan selepas disyaki meleraikan kabel milik Telekom Malaysia (TM) untuk dijual sebagai besi buruk.


Ketua Polis Daerah Keningau, Superintenden Yampil Anak Garai memaklumkan, penahanan ini adalah hasil maklumat awam dan kerjasama pihak TM susulan beberapa laporan gangguan perkhidmatan komunikasi di sekitar daerah Tambunan dan Keningau.


"Siasatan awal mendapati kumpulan ini dipercayai aktif di sekitar Tambunan dan Keningau. Tindakan mereka bukan sahaja mengakibatkan kerugian harta benda, malah menyebabkan gangguan serius terhadap perkhidmatan komunikasi yang memberi kesan langsung kepada kepentingan masyarakat," ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini.


Beliau menambah, kesemua individu yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine (syabu) hasil ujian saringan awal air kencing.


Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas 16 barang kes termasuk kabel yang telah dipotong, beberapa peralatan pemotong besi, serta sebuah kenderaan jenis Proton Persona yang dipercayai digunakan dalam aktiviti tersebut.


Kes disiasat di bawah Seksyen 431A Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat terhadap kemudahan telekomunikasi. Permohonan reman akan dibuat untuk melengkapkan siasatan lanjut, termasuk mengenal pasti kemungkinan penglibatan suspek dalam kejadian lain yang berkaitan.


IPD Keningau menegaskan komitmen untuk terus melaksanakan tindakan penguatkuasaan secara konsisten dan memandang serius sebarang perbuatan yang menjejaskan infrastruktur awam.


Orang ramai digesa agar terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui saluran rasmi pihak polis bagi membantu usaha pencegahan jenayah di daerah ini.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page