top of page

Kaamatan Kampung Tolus Meriah, Semarakkan Perpaduan Komuniti

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

2 Jun 2026


KOTA BELUD: Sambutan Pesta Kaamatan Kampung Tolus 2026 berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan kemasyarakatan yang berjaya menghimpunkan penduduk setempat dalam suasana penuh harmoni dan semangat kekitaan.


Program yang diadakan di Dewan Koisaan Kampung Tolus itu dianjurkan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta KDCA Kampung Tolus.


Majlis perasmian disempurnakan oleh wakil Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM), Pusat Khidmat ADUN Kadamaian, Fandhy Rajin, yang hadir mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapannya, beliau berkata semangat Kaamatan perlu terus diperkukuhkan sebagai medium yang menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang, selain menjadi wadah menghargai jasa dan pengorbanan generasi terdahulu dalam membangunkan komuniti.


“Warisan budaya yang kita miliki hari ini adalah identiti yang perlu dipelihara dan dibanggakan. Pada masa sama, perpaduan yang terjalin dalam kalangan masyarakat merupakan kekuatan utama untuk memastikan kemajuan dan kesejahteraan kampung terus dapat dipertingkatkan,” katanya.


Sementara itu, Pengerusi penganjur, Marcus Logiau, berkata sambutan Kaamatan terus menjadi platform penting dalam memelihara dan mengangkat warisan budaya masyarakat Kadazandusun, Murut dan Rungus (KDMR), di samping mengukuhkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung.


Menurut beliau, penglibatan aktif masyarakat dalam penganjuran dan pelaksanaan program membuktikan komitmen berterusan penduduk untuk memastikan adat dan budaya warisan nenek moyang terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.


Pelbagai acara menarik diadakan sepanjang sambutan termasuk pertandingan pakaian tradisi suku kaum KDMR bertemakan Kaamatan, Pialaan Kolumison Basaan, Karaoke Kaamatan Terbuka, cabutan bertuah serta jamuan potluck yang mendapat sambutan menggalakkan daripada para hadirin.


Kehadiran penduduk kampung dan tetamu dari kawasan sekitar turut memeriahkan lagi sambutan yang berlangsung dalam suasana penuh kegembiraan, sekali gus mencerminkan semangat perpaduan dan penghargaan terhadap kekayaan budaya yang menjadi tunjang identiti masyarakat di Kampung Tolus.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page