Kaamatan kini menjadi sambutan rakyat Sabah - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kaamatan kini menjadi sambutan rakyat Sabah - Ewon


Ewon disambut mesra penduduk kampung.

27 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Pesta Kaamatan kini menjadi sambutan kebudayaan masyarakat Momogun yang turut dirayakan oleh rakyat Sabah, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, sambutan tersebut tidak hanya dianjurkan oleh kerajaan negeri tetapi juga boleh dianjurkan di peringkat keluarga, gereja, persatuan, syarikat mahupun di peringkat parti politik.



“Selagi sambutan Kaamatan membawa ke arah perpaduan dan kesatuan rakyat, maka saya akan menyokong penganjurannya di pelbagai peringkat. Samada ianya dianjurkan oleh pihak kerajaan atau pihak lain seperti persatuan keluarga, persatuan komuniti, gereja, syarikat atau tempat bekerja mahupun parti politik, saya percaya kita harus alu-alukan penganjuran Kaamatan mereka,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa berucap merasmikan Sambutan Pesta Kaamatan Mukim Sayap 2022 di Dewan Serbaguna Kg Sayap, di sini, hari ini.

Ewon ketika berucap pada majlis itu.

Sambutan tersebut yang dianjurkan oleh cawangan-cawangan Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO) di mukim tersebut dihadiri penduduk dari Kg.Sayap, Kg.Terintidon dan Kg.Talungan.


Pada majlis itu, Ewon bersetuju menyalurkan sumbangan sebanyak RM20,000 yang diperlukan oleh penduduk Kg.Sayap termasuk menabur batu kelikir di jalan kuburan, menyelenggara jalan pertanian dan membaikpulih paip graviti di kampung tersebut serta membina bilik pentadbiran guru SK Sayap.

Ewon (dua dari kiri) memalu gong sebagai simbolik perasmian Pesta Kaamatan mukim Sayap.

“Saya akan terus komited menjalankan tanggungjawab saya selaku ADUN Kadamaian walaupun tidak berada di blok kerajaan sepertimana telah saya jalankan selama ini di kampung-kampung lain di kawasan Kadamaian.

“Saya akan mengunjungi kampung ini semula pada bulan Julai hadapan semasa pelaksanaan program gotong-royong melaksanakan keperluan-keperluan tersebut,” katanya.


Ewon mendengar keperluan kaum ibu kampung itu.

Sebelum ini, Ewon turut menyalurkan sumbangan sepenuhnya membaikpulih sebuah jambatan gantung di kampung tersebut yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

Bersempena dengan lawatan beliau di kampung tersebut, Ewon turut singgah mengunjungi gerai ibu-ibu Kg Sayap Magandai dan menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 bagi menambahbaik gerai tersebut.

Ewon bergambar bersama ahli jawatankuasa penganjur sambutan itu.

Pada bulan Mac yang lepas, Ewon juga telah menyampaikan sumbangan jumlah yang sama untuk memulakan pembinaan gerai tambahan kepada ibu-ibu tersebut untuk menjalankan perniagaan mereka.




bottom of page