Kadoh Agundong meninggal dunia
30 Jun 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Datuk Kadoh Agundong, yang pernah digelar sebagai ‘giant killer’ kerana berjaya menewaskan Ketua Menteri Sabah (Datuk) Harris Salleh ketika itu pada pilihan raya negeri 1985, meninggal dunia pada usia 73 tahun.
Pemergian bekas penyokong Parti Bersatu Sabah (PBS) itu tular di media sosial sejak pagi tadi dengan beberapa pemimpin politik membuat ucapan takziah kepada keluarga mendiang.
Difahamkan, Kadoh meninggal dunia awal pagi tadi, ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth 2 (HQE2).
Ahli Majlis Tertinggi PBS, Stanis Buandi dalam perkongsian melalui Faceboonya berkata: “Sesungguhnya keluarga besar kami kehilangan seorang pemimpin yang berwibawa yang telah mencetuskan satu gelombang politik dikalangan keluarga besar ini”.
“Selamat jalan 'The giant killer' YBhg Datuk Kadoh Agundong. Beliau merupakan Menteri Kabinet Sabah yang pertama dari kalangan suku Murut Timugon pada era PBS tahun 1985,” katanya.
Semasa pentadbiran PBS, Kadoh pernah dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan Sabah sebelum dilantik Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan pada pertengahan 1980-an.
Comments