top of page

Kajian Model Koperasi Tamu Desa jadi rujukan penting KUSKOP dalam pengupayaan keusahawanan luar bandar: Ewon

  • nabalunews
  • Jun 10
  • 2 min read

10 Jun 2025


KOTA BELUD: Kajian mengenai Projek Tamu Desa: Model Koperasi Sebagai Pengupayaan Keusahawanan Luar Bandar bakal menjadi rujukan penting kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dalam memperkasa keusahawanan luar bandar, kata Menterinya, Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, kajian itu yang akan dilaksanakan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Sabah, agensi di bawah kementerian dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah (UMS) akan dijalankan selama enam bulan bermula Jun ini hingga Disember 2025.


“IKMA akan memulakan satu kajian Projek Tamu Desa, model koperasi sebagai pengupayaan keusahawanan luar bandar bermula bulan ini.


“Kita telah melantik pegawai penyelidiknya melibatkan penyelidik dari IKMA dan juga UMS yang akan membuat kajian di tapak-tapak Tamu Desa untuk menilai penyertaan masyarakat serta potensi model koperasi dalam pengurusan dan pembangunan aktiviti keusahawanan di Tamu Desa tersebut,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jom Coop anjuran Institut Koperasi Malaysia (IKMA) sempena Sambutan Pesta Kaamatan dan Perasmian Premis Tamu Desa Kampung Melangkap, di Dewan Terbuka Tamu Desa Melangkap, di sini, hari ini.


Ewon berkata, kajian ini penting kerana ia akan memberi input bermakna kepada KUSKOP dalam merangka dasar dan keputusan berkaitan, terutama melibatkan aspek penyelenggaraan, pemasaran dan jaringan antara Tamu Desa dari satu tempat ke tempat lain.


Sempena majlis itu, sebanyak 15 koperasi dari seluruh daerah Kota Belud yang menerima kemudahan premis Tamu Desa turut menghadiri sesi taklimat, yang memberi penekanan kepada peranan koperasi sebagai entiti pengurusan Tamu Desa di peringkat kampung atau mukim masing-masing.


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan watikah pelantikan kepada Pegawai Latihan Kanan IKMA Sabah, Shamsiah Shamsudin, sebagai ketua pasukan penyelidik bagi Projek Tamu Desa: Model Koperasi sebagai Pengupayaan Keusahawanan Luar Bandar.


Sementara itu, Shamsiah berkata, pasukan penyelidik turut mengadakan kajian di Pasar Malam Semenanjung Malaysia dan Sarawak untuk meninjau kejayaan koperasi mengurus pasar malam.


“Ini kerana konteks Pasar Malam lebih kurang sama dengan Tamu Desa. Kalau di Sabah, koperasi itu baru mahu memulakan perniagaan di Tamu Desa.


“Jadi bila kita pergi ke Semenanjung kita akan melihat faktor kejayaan yang boleh menyebabkan mereka mencapai pendapatan jutaan ringgit, apa aktiviti tambahan untuk membantu meningaktkan pendapatan koperasi dan juga dari segi pengurusan.


“Konteks di Semenanjung kita akan bawa ke Sabah dan kita juga akan pergi ke Tamu Desa sekitar Tuaran dan Kota Belud untuk mengambil input dari mereka, apa sebenarnya yang mereka mahukan. Ini kerana, Tamu Desa di Sabah lebih kepada tradisi, tempat berkumpul,” katanya.


Katanya lagi, kajian ini juga akan meneliti potensi koperasi dalam memperkenalkan sistem micro financing dalaman sebagai alternatif bantuan kewangan dalam komuniti.


“Kita mahu galakkan koperasi melaksanakan bantuan kendiri dalam komuniti supaya hasilnya dapat kembali kepada mereka sendiri, tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan,” katanya.


Kajian ini dijangka melibatkan seramai 80 responden.


Turut hadir, Pengarah IKMa Sabah Mohd Razalie Raffae dan para pemimpin setempat.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page