Kajian semula di bawah Perkara 112D timbulkan kebimbangan: PH Sabah
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kajian semula di bawah Perkara 112D timbulkan kebimbangan: PH Sabah


21 April 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) Sabah melahirkan rasa bimbang mengenai persetujuan kajian semula pemberian khas baru-baru ini yang dibuat oleh kerajaan Persekutuan dengan kerajaan Negeri Sabah berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.


Menurut kenyataan PH Sabah, ini kerana wujud persoalan sama ada kajian semula seperti yang dipersetujui bersama adalah berdasarkan kepada Perlembagaan Persekutuan, dengan mengambil kira asas kajian semula yang dibuat telah mengabaikan dan tidak berasaskan kepada formula perkongsian hasil 40 peratus menurut artikel 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.


“Atas dasar apakah kenaikan 4.7 kali ganda tersebut dibuat? Kenyataan bersama itü menyatakan mulai tahun 2022, Sabah dijangka menerima RM125.6 juta dalam bentuk geran khas.


“Sebelum ini, jumlah geran khas yang diberikan kepada Sabah adalah RM26.7 juta, jumlah yang asalnya untuk digunapakai pada tahun 1973. Jelas sekali persetujuan untuk menambah geran khas dengan pendaraban 4.7 adalah tidak berdasarkan formula 40 peratus.


“Memandangkan kajian semula pemberian khas yang dipersetujui itü tidak berdasarkan kepada formula 40 peratus, adakah itü bermakna kerajaan Sabah telah menetapkan suatu preseden untuk kajian semula di masa depan yang nyata merugikan Sabah?


“Ini kerana tindakan itü boleh dilihat sebagai mengakui bahawa sebarang kajian semula di bawah Perkara 112D boleh dipersetujui dengan mengabaikan formula 40 peratus,” kata kenyataan PH Sabah, di sini, hari ini


PH Sabah percaya bahawa kerajaan Negeri Sabah sepatutnya berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan mana-mana kajian semula di bawah Perkara 112D sebelum pengiktirafan dan kebolehgunaan formula 40 peratus dipersetujui dan dihormati oleh kerajaan Persekutuan.


Kata kenyataan itu, ini penting memandangkan jawapan yang diberikan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz di Parlimen baru-baru ini yang menyatakan formula 40 peratus tersebut tidak lagi terpakai, yang mana pendirian tersebut dengan jelas bertentangan dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.


“Tafsiran berat sebelah oleh pihak kerajaan Persekutuan dalam perkara ini akan memberi kesan yang boleh mengancam hak perlembagaan Sabah, yang mana hak tersebut telah dipersetujui sewaktu pembentukan persekutuan Malaysia hampir 59 tahun lalu.


“Sekiranya kebolehgunaan formula 40 peratus itü terus menjadi batu penghalang dalam rundingan di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah, maka kita berada di jalan buntu dalam pertikaian perlembagaan mengenai maksud dan tafsiran Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.


“Peranan dan tanggungjawab untuk mentafsir maksud dan niat Perlembagaan Persekutuan apabila wujudnya pertikaian terletak kepada kuasa Mahkamah Persekutuan dan bukannya kepada petaksir bebas,” katanya.


Menurut PH Sabah, Kerajaan negeri sepatutnya mengambil pendekatan tegas dengan menyelesaikan dan mendapatkan pengiktirafan terhadap kebolehgunaan formula 40 peratus terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan kajian semula walaupun jika ia bermaksud bahawa perkara ini perlu dibawa dan diputuskan oleh mahkamah terlebih dahulu.


Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Datuk Christina Liew (Parti Keadilan Rakyat), Datuk Wilfred Madius Tangau (Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Frankie Poon Ming Fung (Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Lahirul Latigu (Parti Amanah Negara (AMANAH).

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page