Kaki kanak-kanak tersepit dalam mangkuk tandas
- nabalunews
- Sep 6, 2024
- 1 min read

6 September 2024
KOTA BELUD: Seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun terpaksa menahan kesakitan lebih 2 jam selepas kaki kanannya tersepit dalam mangkuk tandas dalam kejadian di Tabika Kemas Kampung Menungu, Kota Belud, pagi tadi.
Bagaimanapun penderitaan kanak-kanak itu berakhir selepas sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud berjaya mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas (Paratech Tool).
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 10.44 pagi tadi.
Katanya sepasukan 8 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari balai.
"Terdapat seorang kanak-kanak lelaki tersepit kaki sebelah kanan di dalam mangkuk tandas. Pasukan nomba bertindak menjalankan kerja-kerja mengeluarkan kaki kanak-kanak yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas (Paratech Tool)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Selepas kaki kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan, mangsa diberikan rawatan awal oleh paramedik dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum di bawa ke hospital menggunakan ambulans untuk rawatan lanjut.
Katanya operasi bomba ditamatkan jam 12.53 tengahari.
Comments