“Kami tidak mahu jadi pelarian di tempat sendiri” - Penduduk Kg. Niatang Pitas

12 Oktober 2022
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: “Kami tidak mahu menjadi pelarian di tempat sendiri” antara luahan kesedihan penduduk Kampung Niatang Pitas yang merayu kepada kerajaan supaya campur tangan menyelesaikan isu pemilikan tanah adat mereka.
Sehubungan itu, kira-kira 100 penduduk dari beberapa kampung di Pitas menyertai perhimpunan secara aman di hadapan bangunan Menara Kinabalu dan SPRM di sini, kelmarin untuk menyampaikan memorandum kepada Ketua Menteri dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagi mewakili penduduk kampung, Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menyampaikan memorandum memohon campur tangan kerajaan membuat siasatan terhadap isu pemilikan tanah dan penangguhan kerja-kerja daripada syarikat terlibat di Kampung Niatang Pitas dan memohon SPRM menyiasat isu itu.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada penduduk Kg Niatang, Pitas meminta bantuan berkaitan isu itu.

“Kg Niatang pada asalnya adalah kawasan milik Lembaga Kawasan Perhutanan Negeri Sabah (SAFODA). Namun, hasil permohonan penduduk kampung, kawasan itu dibubarwarta oleh SAFODA untuk dijadikan kawasan perkampungan dan bercucuk tanam.
“Geran pemilikan tanah Kg Niatang tidak pernah diluluskan walaupun permohonan tanah telah lama dipohon sejak dibubarwarta iaitu tahun 1998 dan tiada kelulusan mahupun penolakan geran dikeluarkan keatas permohonan itu,” katanya.

Beliau berkata, kampung tersebut turut terlibat dalam kawasan tanah gazet Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) sebagai program penanaman getah berkelompok daerah Pitas.
Projek tersebut dibuat di kawasan itu setelah mendapat pengesahan daripada Jabatan Tanah melalui surat bahawa tiada geran dikeluarkan keatas kawasan itu dan Jabatan Tanah mengesahkan kawasan tersebut adalah kawasan gazet untuk projek LIGS pada tahun 2016.
“Isu pemilikan tanah mulai muncul apabila terdapat penyukatan tanah di Kg Niatang oleh pihak-pihak lain yang bukan penduduk asal kampung tersebut. Penyukatan tanah dilakukan tanpa penjelasan kepada penduduk kampung.
“Penyukatan tanah bertujuan untuk pemilikan tanah tersebut. Penduduk kampung berasa tertekan kerana penyukatan tanah tersebut dilakukan di kawasan tempat tinggal, tanaman-tanaman mereka dan tanaman-tanaman di bawah projek LIGS.
“Kawasan kampung mereka bakal diambil alih oleh pihak lain dan mereka akan diusir daripada kampung mereka tanpa pampasan mahupun penempatan baru untuk tinggal. Tanaman hasil titik peluh mereka puluhan tahun juga akan dihapuskan,” katanya.

Hisamuddin mendakwa, beberapa geran tanah telah dikeluarkan kepada orang lain yang tidak pernah menetap di Kg Niatang sedangkan penduduk kampung terlebih dahulu memohon dan telah menetap di Kg Niatang sejak 1970, bercucuk tanam dan mendiami serta mengusahakan pemilikan tanah.
“Tindakan pihak yang menyukat dan mengukur tanah tersebut tanpa penjelasan mahupan kebenaran dianggap sebagai menceroboh kawasan Kg Niatang.
“Penduduk telah membuat pelbagai bantahan dan dikemukakan kepada badan yang bertanggungjawab. Namun bantahan-bantahan mereka tidak mendapat maklum balas sehingga kini. Kami memohon agar perkara ini diberi perhatian untuk keadilan kepada penduduk Kg.Niatang,” katanya.
Hashim berharap kerja-kerja memusnahkan kawasan kampung itu ditangguh sebelum rumah-rumah penduduk terjejas.
“Secara keseluruhan, 1,600 ekar kawasan yang terlibat membabitkan empat kampung namun, kawasan Kampung Niatang sekitar 400 ekar. Kami bersimpati dengan penduduk daripada suku kaum Rungus, penduduk asal yang bakal kehilangan tanah yang mereka duduki sejak zaman nenek moyang lagi.
“Oleh itu kami telah mengemukakan memorandum kepada SPRM bagi menjalankan siasatan pemilikan tanah di kampung itu,” katanya.
Comments