Kamus Murut Tahol – Melayu dijangka diterbitkan tahun depan: DBPKamus Murut Tahol – Melayu dijangka diterbitkan tahun depan: DBP
top of page
  • Writer's pictureMarryan Razan

Kamus Murut Tahol – Melayu dijangka diterbitkan tahun depan: DBP


22 Oktober 2021

Oleh Marryan Razan


KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah meneruskan usaha menerbitkan kamus etnik Sabah dan projek terbaru Kamus Murut Tahol – Melayu Dewan dijangka diterbitkan tahun 2022.


Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Basar berkata, ini merupakan projek pertama DBP secara kerjasama dengan Persatuan Murut Tahol Sabah.


“Pada tahun ini DBP Cawangan Sabah dan Persatuan Murut Tahol Sabah sebagai rakan sinergi bersetuju bekerjasama menerbitkan Kamus Murut Tahol dan telah menandatangani Memorandum Persetujuan (MOA) untuk projek Kamus Murut Tahol – Melayu Dewan.


“Mudah-mudahan selepas ini, akan ada lagi kamus-kamus etnik lain di Sabah akan diterbitkan,” katanya dalam webinar Bahasa Etnik Sabah, hari ini.


Aminah berkata, sebelum ini DBP Cawangan Sabah berjaya menerbitkan kamus rintis, Kamus Bergambar Bahasa Kadazandusun – Bahasa Melayu (Edisi Murid Tahap 1) pada 2015 yang mengandungi 756 kata masukan.


“Usaha ini masih lagi diteruskan tahun ini dengan memperkembangkannya dengan penerbitan Kamus Suku Kadazandusun – Melayu Dewan, yang dijangka akan memuatkan 5,000 entri. Ini masih dalam peringkat pembinaan,” katanya.


Beliau berkata, penerbitan kamus dalam bahasa sukuan diperluas kepada bahasa sukuan lain di Sabah, antaranya pembinaan Kamus Bahasa Lotud – Melayu Dewan yang akan diterbitkan secara dalam talian melalui laman rasmi DBP www.prpm.dbp.gov.my.


“DBP juga mengusahakan Kamus Bahasa Dumpas – Melayu Dewan dengan kerjasama Persatuan Dumpas Sabah dan Kamus Bahasa Lundayeh – Melayu Dewan. Ini antara kamus yang kita sedang bina,” katanya.


Katanya, dalam usaha memartabatkan bahasa kebangsaan, DBP Cawangan Sabah mengangkat beberapa kosa kata umum bahasa etnik negeri ini agar dapat digunakan sebagai sebahagian dalam penggunaan bahasa kebangsaan.


“Kosa kata dari bahasa etnik juga memainkan peranan penting untuk memartabatkan bahasa kebangsaan.


“Bagi mengetengahkan bahasa sukuan di serata dunia pula, DBP dalam usaha memasukkan entri bahasa sukuan yang telah mantap dalam Kamus Dewan Perdana iaitu kamus terbaharu terbitan DBP yang mengandungi lebih daripada 120,000 kata masukan.


“Ada bahasa sukuan dari negeri Sabah yang dimasukkan dalam kamus ini, sebagai rujukan untuk penggunaannya dalam bahasa kebangsaan,” katanya.


Dari segi peristilahan, Aminah berkata, sejak tahun 1980-an DBP Cawangan Sabah telah melaksanakan projek pengumpulan dan pendokumentaian kosa kata bahasa sukuan di Sabah.


“Walapun ia dalam skala kecil tetapi dengan hasrat memberi manfaat kepada masyarakat.


“Dalam peristilahan, DBP ada empat program iaitu projek pengumpulan dan pendokumentasian kosa kata bahasa sukuan di Sabah. Ini telah pun kita laksanakan awal tahun 1980-an, dan masih berterusan sehingga kini,” katanya.


Beliau berkata, hasil daripada projek itu beberapa glosari telahpun diterbitkan iaitu siri Glosari Budaya Malaysia.


“Ini satu usaha yang sangat penting dan ia akan membina inventiri dalam bahasa etnik supaya bahasa etnik Sabah dapat dikembangkan lagi peranan dan fungsinya diperingkat lebih tinggi,” katanya.


Selain itu katanya, DBP dalam usaha menerbitkan Siri Glosari Budaya Tempatan Negeri Sabah merangkumi etnik Rungus, Bajau, Kedayan, Kadazandusun, Murut Tahol, Lundayeh, Dumpas, Tidung dan Suluk.


“Projek glosari ini bertujuan mengumpul dan mendokumentasikan seberapa banyak istilah bahasa sukuan khususnya berkaitan dengan perubatan, upacara dan kepercayaan.


“Projek ini dijangka akan memperkaya khazanah dokumentasi penyelidikan bahasa sukuan mahupun penyelidikan bahasa di peringkat dunia. Kini, melalui, laman web DBP, sebanyak 6,810 entri bahasa sukuan Sabah daripada pelbagai etnik seperti Kadazandusun, Murut Tahol, Bisaya, Rungus, Kimaragang dan Bajau dapat diakses oleh masyarakat,” katanya.


Aminah berkata, usaha ini masih diteruskan melalui Projek Pangkalan Data Bahasa Sukuan Sabah untuk bahasa Dumpas, Lundayeh, Bonggi, Kimaragang dan Rungus.


“DBP sedang membuat peneliitian sub-sub etnik lain yang boleh dimasukkan dalam pangkalan data tersebut,” katanya.


Di samping itu, DBP melalui Kementerian Pendidikan Malaysia, telah mengadakan program melestarikan bahasa sukuan, antaranya bahasa Bajau, Lundayeh, Tidung, Idahan dan Bahasa Dumpas melibatkan generasi muda.


“Apabila generasi muda dilibatkan sebagai rakan penyelidik dalam program ini, kecintaan mereka dalam bahasa sendiri akan lebih mendalam. Ini antara usaha kita menggalakkan generasi muda lebih mencintai bahasa mereka,” katanya.

bottom of page