top of page
  • Wartawan Nabalu News

Karnival HPPK Peringkat Kebangsaan di Penampang, 7-9 Dis

4 Disember 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kira-kira 50,000 pengunjung dijangka membanjiri Karnival Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 Peringkat Kebangsaan (HPPK2023) selama tiga hari bermula 7 Disember ini, di Buhavan Square, Penampang.


Acara perasmian akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 7 Disember bermula pukul 1.00 petang.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sepanjang tiga hari acara itu berlangsung pelbagai aktiviti menarik telah disediakan.


Beliau berkata, sebanyak 300 gerai jualan daripada 50 pempamer, 30 food truck, 190 gerai penjaja dan peniaga kecil dan 14 gerai aneka rasa menawarkan pelbagai jualan seperti makanan dan minuman, kraftangan, pakaian dan banyak lagi.


“Turut diadakan, Jualan Madani Koperasi, Fama dan Jualan Rahmah bagi memberi peluang kepada para pengunjung mendapatkan barangan keperluan harian dengan harga yang lebih murah daripada harga biasa di pasaran.


“Selain itu, aktiviti lain sepanjang HPPK ialah cabutan bertuah dengan pelbagai hadiah menarik seperti barangan elektrik, baucer, hamper dan banyak lagi.


“Pertandingan memasak, mewarna, karaoke, pertandingan Mobile Lagend dan Pertandingan Kereta Mini 4WD, ceramah mengenai keusahawanan daripada agensi-agensi kementerian, pemeriksaan kesihatan dan khidmat menggunting rambut juga akan diadakan,” katanya.


Ewon berkata, Konsert Aramai Boh juga akan diadakan pada hari kedua iaitu 8 Disember bermula pukul 8 malam hingga 10 malam di pentas utama Buhavan Square.


“Artis-artis jemputan yang akan menjayakan konsert itu ialah Stacy, Akim, Esther Applunius, Elica Paujin, Jimmy Palikat, Benn Simon, Lyron Felix, Mary Intiang, Raitim Sitim, Martha Ginun dan live band daripada Cun-Cun & The Brothers,” katanya.

Bagi yang berminat menyertai pertandingan karaoke “Nyanyian Suara Emas”, saringan akan diadakan pada hari kedua (8 Disember) di Pentas Utama bermula pukul 2.00 petang dan pertandingan akhir pada hari ketiga (9 Disember) pukul 2.00 petang.


Juara pertandingan karaoke akan menerima hadiah wang tunai RM1,000, tempat kedua RM700 dan ketiga RM500 berserta trofi dan hamper.


Persembahan terbaik pula akan menerima hadiah wang tunai RM300, trofi dan hamper. Semua peserta akhir (10 orang) akan menerima hamper.


Beliau berkata, bagi mengelak kesesakan dan memudahkan orang ramai berkujung ke Buhavan Square, enam bas HPPK2023 akan disediakan untuk mengambil dan menghantar pengunjung dari ITCC ke Buhavan Square.


Para pengunjung yang membawa kenderaan sendiri boleh meletakkan kenderaan di beberapa tempat yang disediakan iaitu Pusat Kebudayaan Sabah Penampang, Perpustakaan, Sabah Credit, Tokong Cina dan ITCC.

bottom of page