Karnival STEM Sihat @ Membakut Perkukuh Pemindahan Ilmu, Galak Generasi Celik Sains
- nabalunews
- 31 minutes ago
- 2 min read

16 Februari 2026
KOTA KINABALU: Karnival STEM Sihat @ Membakut menjadi platform memperkukuh pemindahan ilmu sains dan teknologi kepada komuniti setempat, khususnya pelajar sekolah, melalui pendekatan pembelajaran interaktif yang turut menekankan aspek kesihatan.
Program tersebut merupakan anjuran Universiti Malaysia Sabah (UMS) melalui U-Science dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Fakulti Sains Makanan dan Pemakanan (FSMP), Hospital UMS (HUMS) serta Kelab Robotik UMS.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata penganjuran karnival tersebut signifikan kerana menggabungkan dua elemen penting dalam pembangunan generasi masa hadapan, iaitu penguasaan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta amalan gaya hidup sihat.

“Pendekatan pembelajaran melalui eksperimen, pameran dan demonstrasi secara langsung bukan sahaja mampu menarik minat murid, malah membantu mereka memahami konsep sains dengan lebih mudah dan menyeronokkan.
“Dalam dunia yang semakin dipacu teknologi dan inovasi, penguasaan STEM bukan lagi pilihan, sebaliknya satu keperluan bagi melahirkan generasi yang berfikiran kritis, kreatif dan berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan karnival tersebut yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Kampung Brunei, baru-baru ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Setiausaha Politik Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Abd Wahid Abd Razak.
Tambah Ariffin, aspek kesihatan tidak boleh dipinggirkan kerana ilmu sains berkait rapat dengan kehidupan seharian termasuk penjagaan kesihatan, pemakanan seimbang dan kesejahteraan diri.
Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan hubungan strategik kukuh antara universiti, sekolah dan komuniti dalam usaha memperkasa pendidikan serta memindahkan kepakaran saintifik kepada masyarakat.
“Karnival ini dirangka berasaskan pendekatan pembelajaran tidak formal yang interaktif, menyeronokkan dan berimpak tinggi bagi menarik minat murid terhadap bidang STEM.
“Ia juga selaras dengan pelaksanaan Kitaran 2 Program STI 100³ di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menekankan pemindahan ilmu dan kepakaran daripada universiti kepada masyarakat.
“Pendekatan yang menggabungkan pendidikan STEM dan elemen kesihatan mencerminkan usaha membangunkan insan secara holistik meliputi aspek intelek, jasmani dan kesejahteraan diri,” ujar Kasim.
Program tersebut turut membuka ruang kepada pelajar universiti dan pendidik berkongsi kepakaran serta inovasi dalam bidang STEM selain memperkukuh kolaborasi antara institusi pengajian tinggi, sekolah dan komuniti setempat.














