Pemilihan Pengerusi JKKK di Kedamaian Timbulkan Pelbagai Reaksi Di Media Sosial
- nabalunews
- 8 minutes ago
- 2 min read

16 Februari 2026
KOTA BELUD: Kenyataan Mantan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Salleh Said Keruak yang memuji inisiatif pemilihan pengerusi Jawatan Kuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian menerima pelbagai reaksi daripada pengamal media dan penganalisis politik.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasmi beliau baru-baru ini, Salleh berkata langkah yang dilaksanakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedamaian, Datuk Ewon Benedick itu bukan sahaja mengukuhkan konsep kerajaan desa, malah memastikan kepimpinan di peringkat akar umbi lebih bertanggungjawab serta mencerminkan kehendak sebenar rakyat.
Menurut beliau, pendekatan seumpama itu wajar diberi perhatian sebagai usaha memperkasa institusi kepimpinan komuniti di negeri ini.

Beberapa pemerhati politik berpandangan bahawa walaupun proses pemilihan secara demokratik dilihat positif, pelaksanaannya di peringkat akar umbi perlu diteliti dengan lebih mendalam.
Seorang pengamal media yang mengulas mengenai kenyataan Salleh menegaskan terdapat risiko besar jika pemilihan JKKK tidak diurus dengan telus.
"Dalam komuniti kecil seperti kampung, proses pilihan raya berpotensi mencetuskan perpecahan dan berpuak-puak," katanya.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan mengenai kemungkinan wujudnya unsur politik kepartian, rasuah serta "strategi berkempen yang cenderung mencari kesilapan lawan, malah mungkin fitnah."
Sementara itu, pengamal media Joibi Dambul berpandangan isu pemilihan JKKK ini mempunyai pro dan kontra. Menurut beliau, "sama ada diundi atau dilantik, tidak akan membawa makna jika individu yang memegang jawatan tiada nilai murni dan integriti."
Pandangan ini turut disokong oleh beberapa pihak yang melihat kejayaan sesuatu kepimpinan kampung lebih bergantung kepada kualiti individu berbanding kaedah perlantikan semata-mata.
Terdapat juga suara daripada Netizen Norbet Gerik yang mencadangkan agar "pihak kerajaan Sabah Maju Jaya (SMJ) harus berbuat demikian keseluruhannya" – merujuk kepada perluasan proses pemilihan JKKK ke semua kawasan di Sabah.
Bagaimanapun, kebimbangan mengenai aspek kewangan turut dibangkitkan, termasuk kos pengundian dan pencalonan, serta risiko "taburan janji manis" ketika proses berkempen.
Setakat ini, Pejabat ADUN dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kadamaian belum mengeluarkan kenyataan lanjut berhubung pelaksanaan pemilihan tersebut susulan pelbagai reaksi yang timbul memandangkan proses pemilihan belum selesai di kesemua kampung.














