top of page

Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas sasar jualan RM4.25 juta

  • Wartawan Nabalu News
  • Aug 16
  • 2 min read
ree

16 Ogos 2025


PENAMPANG: Karnival UDA Bersama BizFrancais Pernas yang berlangsung selama tiga hari di Buhavan Square di sini menyasarkan jualan keseluruhan sebanyak RM4.25 juta melalui penyertaan kira-kira 70 usahawan tempatan dalam pelbagai sektor.


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, berkata ia merangkumi sasaran jualan BizFrancais Pernas berjumlah RM4 juta dan usahawan UDA RM250,000 sepanjang tempoh tiga hari penganjuran.


Beliau berkata, ini sekali gus menggalakkan perkembangan ekonomi setempat serta menyokong pembangunan berterusan keusahawanan tempatan.


“Penganjuran bersama UDA Holdings Berhad (UDA) dan Perbadanan Nasional Berhad (PERNAS) itu mencerminkan sinergi agensi di bawah kementeriannya dalam memperkasa ekosistem keusahawanan sehingga ke peringkat akar umbi.

“Saya bangga melihat semangat perpaduan UDA dan PERNAS yang bersepakat menghimpunkan usahawan mereka dalam karnival ini.


“Kolaborasi strategik ini bukan sahaja memperkukuh pembangunan usahawan di bandar, malah dibawa terus kepada masyarakat luar bandar,” katanya ketika merasmikan karnival itu di sini, hari ini.

ree

Ewon berkata, Karnival UDA yang diperkenalkan sejak 2022 selaras dengan aspirasi kementerian untuk menyediakan ekosistem dan akses pasaran kondusif bagi menyokong pertumbuhan sektor keusahawanan negara.


Beliau berkata, kepelbagaian latar belakang usahawan yang terlibat menjadikan karnival itu platform inklusif serta relevan untuk semua lapisan masyarakat, khususnya dalam memperkukuh jaringan perniagaan dan pemerkasaan jenama tempatan.


Beliau turut menegaskan kehadiran pelbagai agensi KUSKOP bersama UDA dan PERNAS menunjukkan komitmen berterusan kementerian dalam membuka lebih banyak peluang kepada usahawan Bumiputera berasaskan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

ree

“Sejak lebih lima dekad lalu, UDA telah berkembang sebagai pemacu pembangunan bandar dengan membina hartanah dan mewujudkan peluang ekonomi kepada rakyat.


“Kini, dengan lebih 1,000 lot ruang niaga di seluruh negara, UDA terus menyokong aspirasi KUSKOP untuk memastikan ekosistem keusahawanan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.


Ewon berkata UDA juga melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARi), UDA Craft Corner (KIRANA), UDA Bizznita, UDA 4 Youth dan UDA Preneur sebagai platform sokongan melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.


Beliau menambah, kerajaan komited memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah melalui peluasan peluang perniagaan, penyediaan premis komersial, akses pembiayaan serta pelaksanaan program latihan dan bimbingan usahawan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).


“Harapan saya adalah untuk melihat UDA meningkatkan lagi peranannya di Sabah dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan agar lebih ramai usahawan tempatan dapat menikmati peluang sama rata seperti di negeri lain,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page