Pelajar IPTA ditahan keluarkan ucapan berbaur hasutan
- nabalunews
- 7 minutes ago
- 1 min read

2 September 2025
TAWAU: Seorang penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) negeri ini yang dikenalpasti mengeluarkan ucapan berbaur hasutan dalam Himpunan Solidariti Justice For Zara, ditahan polis tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, wanita berusia 23 tahun itu ditahan sekitar jam 12.30 tengah hari di kawasan Batu 4 Jalan Apas sebelum dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
Katanya, siasatan kes itu dijalankan di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Dalam kenyataannya sebelum ini, beliau mengesahkan polis sedang giat mengesan suspek yang sudahpun dikenalpasti bersama beberapa saksi lain bagi membantu siasatan.
Wanita tersebut dikatakan mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Musa Aman, dan video rakaman ucapannya tular di media sosial.
Jasmin berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis daripada orang awam berhubung himpunan berkenaan yang berlangsung di Dataran Majlis Perbandaran Tawau (MPT) pada Ahad lepas.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam atau menyentuh sensitiviti pihak lain.
Comments