top of page
nabalunews

Kasim ketuai misi tawan puncak Kinabalu sempena ulang tahun UMS Ke-30




30 November 2024


KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) meraikan ulang tahun ke-30 menerusi misi menawan puncak Gunung Kinabalu yang diketuai sendiri olej Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Kasim Mansor, baru-baru ini.


Misi yang dinamakan UMS Lambang Puncak Jaya itu turut disertai sekumpulan pelajar Kelab Robotik UMS yang melakar sejarah membawa robot ciptaan mereka yang boleh bergerak di permukaan tidak rata untuk mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu.


Kasim bersama rombongan ekspedisi memulakan cabaran pada jam 9.50 pagi selepas acara pelepasan peserta di Timpohon Gate yang turut dihadiri Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Mohd Raffie Janau; Pengarah Pusat Sukan, Ahmadi Nurdin; Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, Dr Rizal Zamani Idris dan Pengarah Pusat Pengurusan OKU UMS, Dr Zaiton Mohamad, lapor Info X.


Beliau yang tiba di Laban Rata pada jam 4.20 petang memulakan perjalanan ke puncak gunung seawal jam 2.45 pagi selepas bermalam dan tiba di puncak gunung kira-kira jam 6 pagi pada keesokan harinya.


Program itu yang disertai 30 orang staf dan pelajar UMS adalah simbolik sambutan ulang tahun UMS ke-30 dan Majlis Konvokesyen UMS ke-26 yang akan diadakan pada 7 hingga 10 Disember ini.


Antara yang mengiringi Kasim sepanjang cabaran ke puncak Gunung Kinabalu ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Raman Noordin; Pengarah Pusat Alumni UMS, Dr Kamisan Pusiran dan bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMS Sesi 2023/2024, Roslan Abdullah yang mengetuai kumpulan pelajar UMS.


Turut serta dalam misi itu ialah kakitangan dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) UMS, anggota keselamatan, pasukan perubatan dari Hospital UMS, MPP Sesi 2023/2024 dan pelajar Fakulti Kejuruteraan (FKJ) yang terlibat dalam pembuatan robotik.


Tidak ketinggalan atlet UMS yang pernah mewakili dan mengharumkan nama UMS di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, dua pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) serta seorang pelajar antarabangsa dari Jepun.


Dalam pada itu, Presiden Kelab Robotik UMS, Mohd Ghazali Shafie Mohd Razalie yang mengetuai cabaran mengibarkan bendera UMS di puncak Gunung Kinabalu dengan robot ciptaan kumpulan pelajar FKJ berkata, robot berbentuk kereta itu dicipta menggunakan varian empat roda.


Katanya, ia disesuaikan dengan mekanisme suspensi rocker-bogie, iaitu versi ringkas daripada reka bentuk enam roda yang digunakan dalam Mars Rover yang dibangunkan NASA dan agensi angkasa lain bagi membolehkan ia bergerak di permukaan tidak rata.


“Sistem ini dipilih kerana keupayaannya yang cemerlang untuk merentasi permukaan lasak sambil mengekalkan kestabilan.


“Reka bentuk ini membolehkan pergerakan bebas di setiap sisi, memberikan keupayaan mekanisme untuk menyesuaikan diri dengan permukaan yang tidak rata dengan fleksibiliti yang luar biasa.


“Sistem ini mengagihkan beban secara sekata pada roda dan memastikan sentuhan yang konsisten dengan tanah, walaupun di permukaan yang mencabar, selain gerakan ‘rocking’ membantu menyerap hentakan daripada halangan, meningkatkan prestasi di kawasan lasak,” katanya.


Beliau menambah, robot ciptaan mereka lebih kos efektif, ringan dan mudah dibina yang memudahkan mereka untuk mengangkut robot itu ke puncak gunung.


Program UMS Lambang Puncak Jaya diilhamkan Bahagian Pembangunan Pelajar JHEP UMS sebagai inisiatif untuk menunjukkan warga UMS dengan pelbagai latar belakang bersama-sama melalui perjalanan mencabar dalam membangunkan universiti sehingga mampu meraih pelbagai bentuk pengiktirafan dan kecemerlangan.

Comments


bottom of page