top of page

Kauran Greg dilanda banjir kilat kali ketiga

  • nabalunews
  • 6 days ago
  • 1 min read


14 April 2025


KENINGAU: Kampung Kauran Greg dilanda banjir kilat buat kali ketiga dalam tempoh tiga bulan berikutan hujan lebat di sini, semalam.


Pegawai Daerah Keningau Peter Jonu Moinjil, berkata banjir kilat itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 7 malam pada Ahad.


Katanya, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) kemudiannya mengisytiharkan kampung berkenaan sebagai kawasan bencana apabila keadaan semakin teruk.



“Walau bagaimanapun, banjir kilat kali ini hanya melibatkan Kampung Kauran Greg sahaja berbanding sebelum ini melibatkan banyak kampung.


"Akibat daripada kejadian ini JPBD juga membuka satu Pusat Penempatan Sementara (PPS) iaitu di Dewan Majlis Daerah Keningau pada jam 9 malam Ahad,” katanya.


Beliau berkata demikian kepada media ketika ditemui di pejabatnya, di sini, semalam.


Menurutnya, pusat berkenaan menempatkan seramai 21 Ketua Isi Rumah (KIR) dengan seramai 76 orang.


“Banjir kali ini menyebabkan kawasan sekitar perkampungan dipenuhi lumpur sehingga penduduk terpaksa membersihkan rumah masing-masing.


"Kemungkinan kita boleh menutup PPS kali ini selepas semua permasalahan selesai dan penduduk kampung boleh kembali rumah masing-masing" katanya.


“Walau bagaimanapun, ia bergantung dengan keadaan cuaca,” katanya.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page