top of page

Kawalan Jualan Diesel Di Sabah, Sarawak, Labuan Dibatalkan Mulai 1 Julai.

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


PUTRAJAYA, 1 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengumumkan pembatalan sepenuhnya Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026, berkuat kuasa hari ini, 1 Julai 2026.


Keputusan ini menamatkan sekatan kuantiti jualan sebanyak 50 liter, 100 liter dan 150 liter yang sebelum ini dikenakan ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.


Pembatalan tersebut dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim, pada 21 Jun 2026 berhubung penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter, serta pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak yang turut bermula 1 Julai 2026.


Sehubungan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di ketiga-tiga wilayah tersebut diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh berkenaan.


KPDN menyatakan keyakinan bahawa mekanisme baharu yang diperkenalkan Kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.


Kementerian turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya arahan dan mekanisme baharu yang telah ditetapkan bagi memastikan pelaksanaan berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page