top of page

KDCA sokong penggunaan tanah NT diperluas, tidak terhad kepada pertanian

Wartawan Nabalu News

Suman Yasambun.

15 Februari 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PENAMPANG: Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun (KDCA) menyokong penuh kenyataan Timbalan Ketua Menteri merangkap, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan yang bersetuju agar syarat-syarat pengunaan tanah yang berstatus “Native Title” (NT) diperluaskan.


Ini termasuklah aktiviti lain seperti perindustrian, pembangunan perumahan dan tidak terhad kepada pertanian sahaja.


Setiausaha Agung KDCA, Datuk Suman Yasambun berkata, kenyataan Dr. Jeffrey terhadap perkara ini adalah bertepatan dan amat dialu-alukan.


“Kerana jika ini direalisasikan, ia akan memberi manfaat terutamanya kepada semua Anak Negeri (native) di Sabah.


“Dengan ini KDCA menyokong penuh kenyataan beliau dan berharap ianya dapat direalisasikan.


“KDCA percaya bahawa Kerajaan boleh mencari kaedah-kaedah yang sesuai untuk memastikan status “Native Title” tidak terjejas dengan perluasan pengunaan tanah tersebut seperti untuk aktiviti komersial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Suman berkata, tanah merupakan satu aset yang tidak ternilai harganya bagi Anak Negeri kerana ianya adalah sinonim dengan identiti mereka sebagai orang asal negeri ini.


“Tanah NT juga merupakan satu legasi nenek-moyang orang-orang asal negeri ini yang akan diwarisi dari generasi ke generasi seterusnya.


“Sejak kebelakangan ini banyak tanah NT telah ditukar status kepada “Country Lease” (CL), terutamanya di kawasan bandar. Perkembangan ini amat membimbangkan kerana ini akan mengakibatkan tanah berstatus NT berkurangan dan mengancam pemilikan tanah Anak Negeri.


“Oleh itu, KDCA bersedia untuk bekerjasama dengan pihak Kerajaan dan memberi bantuan yang perlu ke arah merealisasikan hasrat yang murni ini,” katanya.

 


Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page