top of page
Wartawan Nabalu News

Keadaan semakin pulih, pemain industri pelancongan Sabah bersyukur


3 Januari 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


Setelah sekian lamanya industri pelancongan di Malaysia terhenti akibat pandemik Covid-19, kini sektor pelancongan dilihat mulai kembali rancak setelah ia dibuka pada bulan September tahun lalu.


Walau bagaimanapun, keadaan industri pelancongan di Sabah bukan lagi seperti dahulu kala sebelum munculnya virus Covid-19 yang dahulunya didatangi berduyun-duyun pelancong luar negara.


Seorang pelatih penyelam berlesen Esther Koh berkata, sebelum pandemik, beliau biasanya akan membawa pelancong-pelancong ke pulau-pulau yang terkenal untuk menyelam.


Antara pulau-pulau yang beliau sering kunjungi adalah Pulau Sapi, Pulau Manukan dan Pulau Mamutik yang memang terkenal kecantikannya di mata para penyelam seluruh dunia.


Namun semua itu terhenti apabila pandemik Covid-19 mula merebak di serata dunia termasuklah di negeri Sabah tahun lalu.

Esther Koh

Malaysia pada ketika itu telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negeri dengan harapan untuk memutuskan jangkitan Covid-19 daripada merebak.


Ini telah menyebabkan hampir semua industri ekonomi termasuklah sektor pelancongan ditutup sekaligus menutup satu-satunya punca pendapatan Esther sebagai seorang pelatih penyelam.


Demi meneruskan kelangsungan hidup, beliau mula menjual potongan buah-buahan di sekitar perumahan beliau. Dengan anggaran keuntungan RM50-RM80 setiap jualan, ianya sedikit sebanyak membantu perbelanjaan beliau sewaktu PKP dilaksanakan.


“Air mata adalah peneman dikala saya tersungkur dengan perasaan emosi yang melampau. Di mana lagi kehilangan pekerjaan, duit simpanan juga telah habis digunakan untuk menampung perbelanjaan serta bil-bil juga tetap berjalan.


“Walau bagaimanapun, bantuan daripada pihak Kerajaan pada ketika itu sedikit sebanyak juga dapat mengurangkan bil-bil semasa seperti bil air, elektrik, telefon dan juga PTPTN.


“Namun ianya jelas tidak mencukupi, tetapi sekurang-kurangnya ianya dapat meringankan sedikit beban yang saya tanggungi,” katanya ketika ditemui Nabalu News, baru-baru ini.


Ujarnya, selain bantuan dari Kerajaan, beliau juga telah menerima bantuan daripada beberapa badan NGO seperti bantuan wang tunai daripada Sabah Tourism Board dan juga bantuan makanan dari Persatuan Badan Penyelam di Semporna.


Esther yang berasal daripada Tuaran berkata, beliau kini akhirnya dapat menarik nafas lega kerana industri pelancongan kini kembali dibuka secara perlahan, tetapi beliau berpendapat ianya memerlukan lebih masa untuk pulih sepenuhnya.


“Saya berharap serta berdoa kepada Tuhan atas pertolongan agar dunia ini akan akhirnya sembuh dari wabak Covid-19,” katanya.


Tambahnya, biarpun pelbagai cabaran yang menimpa beliau sewaktu PKP, beliau tetap terus berjuang dan tidak berputus asa untuk menghidupkan kembali industri pelancongan di negara ini khususnya Sabah.

“Wawasan 2020 memberi kesan hitam yang hebat terhadap ekonomi Malaysia, dan saya berharap kita akan bersama-sama menghidupkan balik slogan ‘Cuti Cuti Malaysia’ di masa yang akan datang!”

Taman Ikan Jinak, di Kampung Melangkap Tiong Kota Belud

Ketiadaan pelancong terutama sekali daripada luar negara juga akhirnya telah mengakibatkan banyak pengusaha-pengusaha kecil pelancongan seperti ‘homestay’, restoran serta kedai kraftangan gulung tikar.


Setiausaha Taman Ikan Jinak iaitu eko-pelancongan berasaskan komuniti di Kampung Melangkap Tiong Kota Belud, Anichlose Kesimin berkata, sewaktu Covid-19 melanda ianya memang memberikan kesan terhadap pelancongan di seluruh negara secara amnya.


“Apabila Covid-19 melanda di seluruh pelusuk dunia, ianya secara tidak langsung memberi kesan kepada industri pelancongan di Sabah khasnya pengusaha industri pelancongan tempatan di luar bandar.


“Bagi Pusat Eko Pelancongan Komuniti seperti kami, antara kesan utama adalah pihak pengurusan terpaksa merehatkan pekerja sepanjang tempoh PKP kerana tiada pendapatan yang dapat dijana ekorang ketiadaan pelancong yang datang.

Anichlose Kesimin

“Ini juga telah menjejaskan pendapatan sampingan khasnya kaum-kaum ibu yang berniaga di kawasan Eko Pelancongan Selama ini. Begitu juga dengan pemilik-pemilik kedai runcit yang d mana purata pendapatan bulanan mereka menurun mendadak,” katanya.


Selain tidak dapat menjana pendapatan sepanjang tempok PKP tersebut, perancangan untuk menaik taraf kemudahan-kemudahan yang ada di kawasan pelancongan tersebut juga terpaksa ditangguhkan.


Ujar Anichlose, demi meneruskan kelangsungan hidup, mereka terpaksa mencari punca pendapatan yang lain iaitu meneruskan kerja-kerja pertanian seperti memungut hasil buah-buahan dan menjual hasil mereka dengan menggunakan talian internet secara pajak.


Katanya lagi, mereka juga menoreh getah iaitu aktiviti wajib bagi orang-orang kampung di situ.

Menurut beliau, mereka juga pernah memohon bantuan seperti Sabah New Deal iaitu sebuah geran inisiatif kerajaan negeri untuk membantu para pengusaha pelancong yang terjejas akibat pandemk Covid-19.


“Walau bagaimanapun, kami tidak mendapat bantuan tersebut, mungkin di atas faktor teknikal.


“Namun, sepanjang PKP yang lalu, kami juga tidak menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana NGO,” katanya.


Ujarnya, sebaik sahaja beliau mendengar khabar bahawa industri pelancongan di seluruh negera dibuka semula, beliau sangat gembira dan bersuka cita.

“Ianya sudah tentu satu berita yang gembira dan ianya sangat bermakna bagi kami sebagai pengusaha pelancongan secara komuniti.


“Kini setalah beberapa bulan beroperasi kembali, kehadiran pelancong semakin menggalakkan khasnya di tempat kami. Walau bagaimanapun, sektor pelancongan belum pulih sepenuhnya kerana pelancong dari luar negara belum dibenarkan dan para pengunjung masih tertakluk dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya


“Selain dari itu, kami juga akan membuat iklan kepada yang berminat untuk mencari tempat penginapan secara bulanan khasnya kepada syarikat-syarikat yang terlibat dengan kerja-kerja pembinaan dalam apa jua bidang yang melakukan kerja-kerja di kawasan kami.

Tambah beliau, sebagai pemain industri pelancongan yang kecil, mereka sangat berharap agar industri ini akan pulih seperti sediakala.


“Harapan kami sangat besar agar Kerajaan yang ada pada hari ini melalui Kementerian Pelancongan Malaysia akan dapat memainkan peranan yang penting dalam membantu memulihkan serta menaikan semula industri Pelancongan dengan cara memberikan suntikan dana khasnya kepada eko-pelancongan yang berlandaskan komuniti dan amnya kepada semua yang terlibat dalam industri ini,” katanya lagi.


Jelas beliau lagi, sekiranya keadaan pandemik Covid-19 semakin teruk serta PKP juga terpaksa dilaksanakan semula, mereka terpaksa meneruskan kehidupan dengan beralih kepada bidang pertanian dan perladangan.



Comments


bottom of page