Kebajikan Diperkasa: SKM Salur Bantuan CSR di Kampung Kopungit
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

15 Julai 2025
KOTA KINABALU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah melaksanakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) hari ini di Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, dengan menyalurkan bantuan berupa bakul makanan kepada golongan yang memerlukan.
Sebanyak 50 bakul makanan, termasuk beras seberat 10 kilogram setiap satu, telah diserahkan kepada warga emas, individu orang kelainan upaya (OKU), serta keluarga berpendapatan rendah (B40). Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan SKM dalam memperkukuh jaringan sokongan sosial melalui gerakan koperasi di Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kopungit, Mohd. Rizal Mahatin, menyampaikan penghargaan kepada mantan Ahli Lembaga Pengarah SKM, Dato' Mohd Syukri Bin Abdul Majid, yang mewakili gerakan koperasi dalam meluluskan bantuan ini. Beliau turut menyatakan bahawa sumbangan tersebut memberi impak besar kepada kesejahteraan komuniti yang terkesan akibat tekanan ekonomi semasa.

Majlis penyerahan bantuan tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook, yang hadir menyerahkan sumbangan secara langsung kepada para penerima.
Beliau menyatakan bahawa program seumpama ini selari dengan misi SKM untuk memastikan gerakan koperasi bukan sahaja aktif dalam sektor ekonomi, tetapi turut menyumbang kepada aspek kebajikan sosial masyarakat.
“Bantuan ini menunjukkan semangat solidariti dan keprihatinan dalam gerakan koperasi. Ia adalah langkah penting dalam memastikan tiada golongan terpinggir daripada perhatian sewajarnya,” ujar Datuk Wong.
Rizal turut menyuarakan harapan agar program CSR seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan dan diperluas ke kawasan lain. Menurut beliau, inisiatif tersebut bukan sekadar memberi bantuan keperluan asas, malah turut menyuntik semangat kebersamaan dan kepedulian sosial dalam komuniti kampung.
SKM dijangka akan meneruskan pelaksanaan program-program CSR di negeri Sabah dan seluruh negara dalam memastikan objektif koperasi sebagai pemacu kesejahteraan masyarakat terus direalisasikan secara menyeluruh.
Comments