Kebakaran, 11 rumah atas air musnah di Kota Belud

28 Oktober 2024
KOTA BELUD: 11 rumah atas air musnah dalam kebakaran di Kampung Buah Pandai, di sini, awal pagi kelmarin.
Tindakan pantas bomba berjaya menyelamatkan 16 rumah lagi dalam kejadian kira-kira jam 4 pagi itu.
Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.09 pagi tadi.
Katanya sepasukan 13 pegawai dan anggota bersama sebuah jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Kota Belud dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 20 kilometer dari balai.
"Kebakaran melibatkan 11 buah rumah atas air jenis tidak kekal luas keseluruhan 1,627 meter yang terbakar 100%.
"Pasukan Bomba berjaya menyelamatkan 16 buah rumah.
"Operasi pemadaman menggunakan 1 aliran 200 kaki 2 pancutan sumber air dari tangki jentera dan air terbuka (air laut)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Kebakaran dapat dikawal jam 5.09 pagi dan setelah memastikan tidak ada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan jam 6.15 pagi.
Comments