Kebakaran bilik di KK Times Square
15 Ogos 2024
KOTA KINABALU: Tindakan pantas anggota bomba berjaya memadamkan kebakaran membabitkan sebuah penginapan di Blok D, tingkat tiga, bangunan KK Times Square, di sini, sekaligus mengelak kejadian menjadi lebih teruk, petang tadi.
Kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu hanya membabitkan dua bilik penginapan dan tandas yang terbakar.
Kejadian itu turut menyebabkan pengunjung dan orang ramai cemas selepas kelihatan kepulan asap tebal keluar dari bahagian tingkap bangunan berkenaan.
Sebelum itu, kepulan asap yang keluar dari bahagian tingkap bangunan berkenaan menggemparkan orang ramai di sekitar kawasan itu.
Pegawai Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Kota Kinabalu),
Mohd Hanis Mokhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 5.37 petang.
Katanya, sepasukan 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari BBP Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak 3 kilometer dari balai.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan satu pancutan dari sumber air tangki jentera serta sitem pancur basah bangunan.
“Kebakaran dapat dikawal pada jam 6.52 petang dan kebakaran membabitkan dua bilik dan tandas yang berada di tingkat tiga bangunan berkenaan terbakar 50 peratus,” katanya.
Menurutnya, kebakaran dapat dikawal jam 6:52 petang dan operasi bomba ditamatkan jam 7.52 malam dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.
Tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.
“Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya.
Comments