top of page

Kebersamaan Kebudayaan di SK Kebayau: Pesta Kaamatan 2025 Disambut Meriah

  • nabalunews
  • 16 hours ago
  • 2 min read


29 Mei 2025


KOTA BELUD: Sekolah Kebangsaan (SK) Kebayau Kota Belud semalam 28 Mei 2025 menyemarakkan semangat perpaduan dan warisan budaya menerusi sambutan Pesta Kaamatan 2025 yang berlangsung meriah di pekarangan sekolah.


Majlis penuh warna-warni itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin. Dalam ucapan ringkasnya, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah atas penganjuran program yang dianggap mampu mendekatkan generasi muda dengan budaya tradisi.


"Program seperti ini memberi peluang kepada murid bukan sahaja untuk memahami budaya sendiri, tetapi juga untuk merasai kemeriahannya secara langsung. Ia adalah satu usaha berharga dalam memperkukuhkan jati diri serta semangat perpaduan dalam kalangan pelajar," ujar Carlye.

Guru Besar SK Kebayau, Siti Munirah Abdullah dalam ucapan alu-aluannya, turut menyampaikan penghargaan kepada semua pihak yang hadir dan menyokong acara tersebut. Menurut beliau, objektif utama sambutan ini adalah untuk memartabatkan warisan budaya serta meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap budaya Kaamatan.


"Melalui sambutan ini, murid diberi ruang untuk mempelajari nilai budaya, memperkukuh jati diri dan keyakinan mereka. Ia juga penting agar budaya dan bahasa yang diwarisi tidak pupus ditelan zaman," katanya.


Antara pengisian menarik sepanjang program ialah tamu pagi anjuran ibu bapa, pertandingan Sugandoi Tangaanak (nyanyian kanak-kanak), Sugandoi Komolohingan (nyanyian dewasa), kuiz untuk kanak-kanak dan dewasa, serta pertandingan Kolumison Basaan yang mempamerkan fesyen pakaian tradisional. Persembahan pukulan gong dan tarian tradisional turut memukau para penonton yang hadir.


Kemeriahan terus dirasai apabila penyanyi cilik dan dewasa yang menjuarai pertandingan Sugandoi turut membuat persembahan khas. Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang serta jamuan makan yang mengeratkan hubungan sesama warga sekolah dan komuniti.


Antara yang turut hadir memeriahkan acara ialah Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG), Justin Sarapon, semua guru, ahli jawatankuasa PIBG dan komuniti setempat. Kehadiran mereka menyerlahkan lagi semangat kerjasama dan sokongan padu terhadap usaha pendidikan berteraskan budaya.


Pesta Kaamatan di SK Kebayau kali ini bukan sahaja meriah, malah penuh dengan makna – satu manifestasi komitmen sekolah dalam menerapkan nilai budaya dan perpaduan yang kekal relevan untuk generasi akan datang.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page