top of page

Kejohanan Bola Jaring 12TKB MSS Kota Belud 2025 Angkat Martabat Sukan di Peringkat Akar Umbi

  • nabalunews
  • Jul 10, 2025
  • 2 min read

10 Julai 2025


KOTA BELUD: Kejohanan Bola Jaring Bawah 12 Tahun (12TKB) anjuran Majlis Sukan Sekolah (MSS) Daerah Kota Belud bagi tahun 2025 telah berlangsung dengan jayanya semalam di Kadamaian Square, Taginambur. Pertandingan ini disertai lapan buah sekolah rendah yang dibahagikan kepada empat zon, sekali gus memperlihatkan kesungguhan pihak penganjur dalam memupuk budaya bersukan dalam kalangan murid sekolah rendah.


Majlis perasmian kejohanan telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Carlye Lajimin yang mewakili Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap ADUN Kadamaian, Datuk Ewon Benedick.


Dalam ucapan yang dibacakan oleh Carlye, Ewon merakamkan ucapan tahniah atas penganjuran kejohanan yang dianggap sebagai platform terbaik mencungkil bakat sukan dari peringkat awal. Beliau menegaskan bahawa sukan bukan sahaja alat pembangunan bakat tetapi juga medium penting dalam pembentukan sahsiah, kepimpinan, kerjasama berpasukan dan ketahanan mental.

“Penganjuran seperti ini mampu melahirkan atlet muda yang berpotensi besar untuk mewakili negeri Sabah, bahkan negara. Ia juga menjadi medan kepada murid-murid untuk mempamerkan kebolehan serta membentuk nilai disiplin dan semangat juang yang tinggi,” katanya.


Beliau turut menyeru para peserta agar bertanding dengan semangat kesukanan yang tinggi serta menzahirkan rasa hormat terhadap rakan pasukan, pihak lawan dan keputusan pengadil.


Menyentuh nilai utama dalam sukan, Ewon menekankan bahawa kemenangan sebenar tidak hanya terletak pada kejayaan merangkul kejuaraan, tetapi dalam usaha gigih, disiplin diri dan dedikasi yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.


Pengerusi Pengelola kejohanan, merangkap Guru Besar SK Tambatuon, Rosli Sidin, menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, termasuk barisan guru, jurulatih dan ibu bapa yang memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan kejohanan ini.


Turut hadir memberi sokongan ialah Pengerusi Teknik Bola Jaring Kota Belud bagi Sekolah Rendah, Ervinna Elynie Ramlee, serta Ketua Jabatan Pendidikan Jasmani dan Kokurikulum IPG Kampus Kent Tuaran, Dr. Siti Norashikin Mastun yang bertindak sebagai Ketua Panel Pemilih wakil ke peringkat negeri. Manakala Ketua Unit Pembangunan Insani IPG Kampus Gaya Kota Belud, Dr. Israh Aripin pula hadir sebagai pengadil jemputan. Sistem pengadilan kejohanan diketuai oleh Hadizan Ameran.


Kejohanan ini secara keseluruhannya berjaya mencapai objektif memperkasakan pembangunan sukan di peringkat akar umbi, selain menyemai semangat perpaduan dan nilai murni dalam kalangan pelajar. Ia menjadi cerminan komitmen masyarakat dalam menyokong aspirasi pendidikan holistik melalui pendekatan sukan.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page