Kejohanan Olahraga SK Kaung Kota Belud Kali Ke-50 Meriah
- nabalunews
- 5 hours ago
- 1 min read

Oleh Kidd, Wartawan Nabalu News
24 April 2026
KOTA BELUD: Kejohanan Olahraga Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kaung kali ke-50 berlangsung meriah di Padang Kampung Lobong-Lobong dari 23 hingga 24 April 2026.
Bertemakan “Dari Padang Kita Bersinar”, acara ini menjadi platform utama mencungkil bakat atlet muda berpotensi di kalangan murid.
Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (YDP PIBG), Donius Yangkat.

Dalam ucapannya, beliau menekankan sukan membentuk sahsiah, disiplin dan semangat kerjasama. Kehadiran ibu bapa serta komuniti setempat memeriahkan suasana sepanjang dua hari.
Pertandingan sengit menyaksikan Rumah Sukan Poluan juara keseluruhan, diikuti Rumah Sukan Wokokon sebagai naib juara dan Rumah Sukan Lumobui tempat ketiga.
Peserta menunjukkan komitmen tinggi dan daya saing sihat dalam pelbagai acara.

Anugerah individu jatuh kepada Celestine Justinnew sebagai Olahragawan Kejohanan, manakala Elesandra Grace dan Emilly Fanevly Justin berkongsi gelaran Olahragawati.
Kejayaan ini diharap memacu murid lain aktif dalam sukan dan mengharumkan nama sekolah.











