Kekukuhan keluarga asas bina negara: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Kekukuhan keluarga asas bina negara: Ewon


Ewon disambut mesra Keluarga Pitan, Silou dan Dasaan.

30 Mei 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA BELUD: Kekukuhan institusi keluarga di sesebuah kampung dan daerah boleh menjadi asas kepada kesejahteraan dan pembangunan negara yang progresif, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Menurut beliau, ini kerana perkhidmatan dan kepimpinan terbaik seseorang kepada negara bermula daripada keluarga dan persatuan keluarganya.


Ewon bergambar bersama keluarga besar Pitan, Silou dan Dasaan.

“Mengurus keluarga bukan mudah kerana sentiasa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Tetapi apabila kita dapat mengurus keluarga dan persatuan keluarga kita dengan baik, maka sudah tentunya kita dapat tampil sebagai pemimpin di peringkat kawasan untuk membantu menguruskan pembangunan negara.


“Justeru, sambutan Hari Keluarga seharusnya dibudayakan bagi memupuk kesatuan dan kerjasama keseluruhan ahli keluarga besar. Sambutan sedemikian juga akan dapat menyerlahkan toleransi dan perpaduan keluarga besar yang terdiri daripada pelbagai anutan agama, suku kaum dan fahaman politik.

Ewon berucap pada majlis itu.

“Dalam keadaan susah, pihak pertama yang kita akan cari adalah anggota keluarga kita. Di masa senang, kita juga harus libatkan keluarga. Maka itulah pentingnya sambutan hari keluarga agar dapat memupuk semangat kebersamaan ini selain mengukuhkan ikatan persaudaraan,” katanya.

Ewon menyatakan demikian semasa berucap merasmikan sambutan Majlis Kaamatan Raya Hari Keluarga Pitan, Silou dan Dasaan di Kg.Koung Malaan, di sini, hari ini.



Sementara itu, Pengerusi Penganjur Pindah Periah merakamkan penghargaan kepada lebih 500 orang anggota keluarga yang hadir pada majlis itu.


Beliau berkata, sambutan tersebut julung kalinya diadakan sejak salasilah keluarga mereka mulai didokumentasikan 10 tahun lepas.



“Keluarga besar ini terdiri daripada suku bangsa Kadazandusun dan Bajau serta menganuti agama Kristian dan Islam. Sambutan hari keluarga ini dapat merapatkan lagi hubungan persaudaraan dikalangan anggota keluarga besar.


“Kami juga berharap agar cadangan untuk mewujudkan pusat galeri keluarga ini di Kg.Mangkulat akan menjadi kenyataan,” katanya.


Antara anggota keluarga yang hadir ialah Datuk Jame Alip, mantan Pengarah Jabatan Pendidikan Sabah.



bottom of page