top of page

Kekurangan Bukan Halangan Bagi Graduan UMS Tamat Pengajian Secara Aegrotat

  • nabalunews
  • 1 hour ago
  • 2 min read

ree

4 Disember 2025


KOTA KINABALU: Bagaimana seorang pelajar universiti mampu meneruskan pengajian setelah kehilangan kedua-dua tangan dan kakinya akibat komplikasi kesihatan yang tidak dijangka.


Itulah persoalan yang timbul terhadap seorang graduan UMS yang tamat pengajian secara Aegrotat , DK Siti Mashitah AK Sulaiman, 24, yang tetap memilih untuk kembali meneruskan pengajiannya walaupun terpaksa berdepan dengan cabaran kesihatan.


Keadaan kesihatan Mashitah mula merosot pada tahun 2023 apabila beliau mengalami sakit perut yang dianggap ringan pada mulanya.


Beliau dirujuk ke Hospital Beaufort dan Hospital Sipitang serta beberapa klinik swasta sebelum didiagnosis dengan jangkitan kuman yang kritikal akibat komplikasi apendiks.


Setelah berada dalam koma hampir sebulan, beliau akhirnya diamputasi pada bulan Ogos, tahun yang sama.


“Sehingga kini, saya masih mengalami phantom pain, kesakitan pada anggota yang telah tiada sehingga mengganggu aktiviti harian saya,” katanya.


Beliau juga sukar berkomunikasi dengan baik akibat pernah mengalami strok.


‘Dengan keadaan fizikal saya, cabaran mobiliti di universiti menjadi antara kesukaran terbesar yang perlu saya hadapi,” katanya lagi.


“Walaupun begitu, pihak UMS banyak membantu saya dari aspek penyediaan fasiliti termasuklah mewujudkan kelab Buddies Mahasiswa OKU.


Rakan sekelasnya merangkap buddie, Fadhilah Yusof, 23, berkata DK Siti Mashitah lebih mesra dikenali sebagai DK dan merupakan seorang yang sangat peramah dan ceria.


Dk Siti Mashitah dan Fadhilah adalah antara 654 graduan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan yang menerima segulung Ijazah masing-masing pada Majlis Konvokesyen UMS ke-27.


Menyentuh cabaran fizikal dan kesakitan berterusan, beliau tetap bercita-cita untuk terus mencapai kejayaan demi keluarganya.


Sehingga kini, beliau berpegang kepada matlamat untuk sentiasa berfikiran positif dan membetulkan niat dalam apa juga yang dilakukan.


Kisah Mashitah ini membuktikan yang semangat, sokongan dan ilmu boleh menjadi pendorong utama untuk terus maju walaupun berdepan cabaran yang paling sukar.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page