Kelewatan Pan Borneo: Madius Mahu KKR Sediakan Pelan Pemulihan Bagi Setiap Pakej Bermasalah

KUALA LUMPUR, 5 Nov - Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau meminta Kementerian Kerja Raya (KKR) menyediakan pelan pemulihan yang jelas bagi setiap pakej projek Lebuhraya Pan Borneo yang mengalami kelewatan di Sabah.
Beliau berkata rakyat sudah terlalu lama menanggung kesulitan akibat pembinaan yang berlarutan dan berhak mengetahui faktor sebenar yang menyebabkan projek infrastruktur itu lewat disiapkan.
Menurutnya, antara isu yang sering dikaitkan dengan kelewatan projek ialah masalah pengambilan tanah, pemindahan utiliti dan prestasi kontraktor.
"Rakyat mau tahu bagaimana masalah ini akan diselesaikan," katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 bagi KKR di peringkat Jawatankuasa di Dewan Rakyat pada Isnin.
Beliau turut mempersoalkan mengapa isu pengambilan tanah dan pemindahan utiliti masih menjadi halangan walaupun pembinaan sudah bermula.
Pada masa sama, beliau meminta kementerian menjelaskan sama ada kontraktor mempunyai tenaga kerja, jentera dan bahan binaan yang mencukupi di kawasan yang sudah tersedia untuk pembinaan.
"Bagi memastikan kelewatan dapat ditangani secara sistematik, saya mencadangkan setiap pakej bermasalah mempunyai pelan pemulihan yang menyatakan halangan dihadapi, pihak bertanggungjawab, tarikh penyelesaian dan sasaran penyiapan.
"Tuaran mencadangkan setiap pakej bermasalah mempunyai pelan pemulihan yang jelas," katanya.
Beliau yang juga Presiden Kehormat UPKO turut meminta kementerian mengemukakan penjelasan secara bertulis mengenai setiap lanjutan masa (EOT), khususnya bagi pakej yang melalui kawasan Tuaran, supaya kemajuan projek dapat dipantau dengan lebih berkesan.
Katanya, langkah itu penting bagi membolehkan tindakan segera diambil apabila sesuatu projek mula menunjukkan kelewatan, selain memastikan pihak yang bertanggungjawab dapat dikenal pasti.
ADUN N.14 Tamparuli itu memberitahu, rakyat memerlukan kepastian mengenai tempoh pelaksanaan projek kerana kelewatan berpanjangan memberi kesan kepada pergerakan harian dan aktiviti ekonomi penduduk.
"Setiap masalah pelaksanaan perlu disusuli penyelesaian yang mempunyai garis masa dan tanggungjawab yang jelas, bukan hanya memberi penjelasan mengenai punca kelewatan," tegas Madius.















Comments