Kelonggaran e-invois, percepat bayaran balik cukai
- nabalunews
- 9 minutes ago
- 2 min read

6 Disember 2025
KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tindakan dasar segera bagi meringankan beban khususnya kepada peniaga kecil termasuk melonggarkan syarat e-invois dan percepatan bayaran balik cukai.
Anwar berkata, had e-invois RM500,000 yang sebelum ini membebankan peniaga kecil telah dibatalkan dan dinaikkan kepada RM1 juta.
“Had RM500,000 dilihat memberi tekanan besar kepada peniaga kecil jadi kita putuskan dalam Jemaah Menteri semalam untuk membatalkan had lama dan menaikkan threshold kepada RM1 juta minimum.
“Ini bermakna peniaga kecil betul-betul tidak perlu lagi dipaksa melaksanakan e-invois buat masa sekarang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sentuhan Madani Bersama Rakyat Sabah yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau turut mengakui kelewatan bayaran balik cukai menjadi rungutan utama ketika kempen pilihan raya Sabah, terutama dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Mereka bayar cukai ikut jadual, ikut peraturan. Tetapi bila tiba soal bayaran balik, mereka terpaksa tunggu bertahun-tahun. Ini menimbulkan kemarahan dan beban kepada peniaga kecil,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan pada mulanya menyediakan RM2 bilion untuk mempercepat bayaran balik, namun jumlah itu didapati tidak mencukupi.
Katanya, peruntukan itu kemudian digandakan kepada RM4 bilion bagi bulan Disember bagi memastikan bayaran balik tertunggak dapat diselesaikan dengan lebih cepat.
“Saya tidak mahu menjadi pemimpin yang hanya bercakap. Saya mahu menjadi pemimpin yang mendengar dan kemudian bertindak. Kepimpinan itu satu amanah, bukan keistimewaan,” katanya.
Sementara itu, menyentuh isu asas di Sabah, Anwar berkata bekalan air, elektrik dan jalan raya masih belum stabil walaupun peruntukan besar telah disalurkan.
“Mulai Januari, kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan menjalankan pemantauan bulanan ke atas semua projek infrastruktur bagi mengenal pasti punca kelewatan dan mempercepat kelulusan serta pelaksanaan.
“Kalau kita tidak bertindak sekarang, masalah ini tidak akan selesai. Banyak keputusan besar termasuk berkaitan elektrik, air dan jalan kampung akan dimuktamadkan dalam satu hingga dua bulan ini,” katanya.














