Pengurusan Makanan Dan Amalan Pengilangan Baik Penentu Kualiti Industri Makanan Negara
- nabalunews
- 10 minutes ago
- 2 min read

6 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kesedaran terhadap keselamatan dan kualiti makanan semakin meningkat selaras dengan perubahan gaya hidup moden serta perkembangan pesat teknologi dan industri pemprosesan makanan.
Seiring industri makanan yang semakin kompleks, pemahaman mendalam mengenai pengurusan makanan dan pelaksanaan Good Manufacturing Practice (GMP) menjadi keperluan utama bagi memastikan produk yang dihasilkan selamat, bersih dan berkualiti.
Pengurusan makanan merangkumi proses menyeluruh bermula daripada penerimaan bahan mentah, penyimpanan, pemprosesan, pembungkusan sehinggalah pengagihan kepada pengguna.

Setiap peringkat mempunyai risiko pencemaran fizikal, kimia dan mikrobiologi yang boleh menjejaskan keselamatan makanan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.
Justeru, GMP berfungsi sebagai garis panduan standard dalam mengawal risiko serta memastikan setiap proses pemprosesan makanan mematuhi syarat kebersihan dan kawalan kualiti.
Institusi pengajian tinggi turut memainkan peranan penting dalam melahirkan graduan yang memahami teori dan praktikal dalam bidang pengurusan makanan.
Di Universiti Malaysia Sabah (UMS), kursus Prinsip dan Teknologi dalam Industri Makanan memberi penekanan kepada pengaplikasian ilmu kimia dalam pemprosesan makanan.
Untuk memperkukuh pembelajaran, pendedahan industri dilaksanakan melalui lawatan akademik ke Kilang Kopi Yit Foh, Tenom.
Seramai 34 pelajar tahun akhir program Kimia Industri, bersama pensyarah kursus, Prof. Madya Dr. Mohd Sani Sarjadi, mengikuti lawatan tersebut bagi melihat sendiri operasi industri tempatan serta memahami pelaksanaan GMP secara langsung.
Melalui sesi taklimat dan lawatan ke kawasan pemprosesan, pelajar didedahkan kepada pengurusan bahan mentah, kebersihan peralatan, kawalan suhu penaikan biji kopi, sistem dokumentasi, penggredan produk dan proses pembungkusan.
Menurut Dr. Mohd Sani, pengalaman industri amat penting dalam membentuk kefahaman holistik pelajar mengenai keselamatan makanan.
“Pelajar perlu melihat, menilai dan memahami bagaimana setiap keputusan dalam proses pengeluaran memberi kesan kepada kualiti dan keselamatan makanan.
“Inilah nilai tambah yang menjadikan mereka bersedia menghadapi dunia pekerjaan,” ujar beliau.
Dr. Mohd Sani berkata, selain memberi pendedahan praktikal, lawatan tersebut turut menekankan bahawa pelaksanaan GMP membawa pelbagai manfaat kepada industri makanan.
“Ia termasuk mengurangkan pembaziran, meningkatkan kecekapan operasi, memperkukuh reputasi jenama serta meningkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.
“Lawatan akademik ini membuktikan bahawa pembelajaran berasaskan pengalaman mampu menghubungkan teori dengan realiti industri.
“Pemahaman dan komitmen terhadap GMP bukan sahaja penting dalam melindungi kesihatan pengguna, malah menjadi asas kepada kemajuan dan daya saing industri makanan negara,” jelasnya lagi.














