KEMPEN DERMA DARAH DI KG BABAGON PENAMPANG BERJAYA MENCAPAI SASARAN PENDERMA

6 Jun 2021
Oleh Jacquline Ebit
PENAMPANG: Seramai 42 penderma mengikuti Kempen derma darah anjuran Persatuan Talasemia Sabah dan Kempen Derma Darah Komuniti Kg. Babagon di Dewan Gereja Kg. Babagon, Penampang, di sini, hari ini.
Kempen derma darah itu dianjurkan dengan kerjasama Hospital Queen Elizabeth 2, Pendarah dan BSSM Cawangan Penampang.
Menurut Setiausaha Kempen Derma Darah Komuniti Kg. Babagon Felimena Andreas, program yang bermula 9 pagi itu berjaya menarik lebih 40 penderma.

"Kami hanya mensasarkan seramai 30 penderma, dan amat menggembirakan, seramai 42 orang hadir untuk menderma darah. Daripada 42 orang yang mendaftar 36 orang layak menderma iaitu melebihi daripada sasaran kami.
"Penderma yang hadir kebanyakannya daripada golongan belia dan ini membuktikan program seumpama ini mendapat sokongan daripada para belia," katanya kepada Nabalu News.

Felimena berkata, kempen derma darah tersebut akan diadakan setiap tiga bulan dan kempen seterusnya pada 5 September depan.
Beliau berkata, penubuhan Kempen Derma Darah Komuniti Kg. Babagon tercetus akibat kepimpinan kampung seperti JPKK dan Ketua Kampung yang silih berganti kerana berganti kerajaan.
"Penganjuran kempen derma darah mengalami kesukaran sekiranya kepimpinan JPKK silih berganti.
"Di Kg. Babagon terdapat beberapa keluarga yang anaknya menghidap penyakit Talasemia. Kami mahu konsisten menganjurkan kempen derma darah ini.

“Oleh itu, komuniti Kg. Babagon pun bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa penganjuran kempen derma darah,” katanya
Selain Kg. Babagon, penduduk Kg. Madsiang, Kg. Notorus, Kg. Sosopon, Kg. Timpangoh, Kg. Timpoluon dan Kg. Tampasak turut hadir memberi sokongan dalam kempen derma darah tersebut.

Turut hadir, Pengerusi penganjur peringkat komuniti Kg. Babagon, Julius Gupuk; Ketua Kg. Babagon dan Tampasak Monis Gimbun; Bakal pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKPP) Babagon, En. Micheal Paulus dan Pengerusi Persatuan Talasemia Sabah, En. Francis Mujim.
Comentários