top of page
Wartawan Nabalu News

KEMPEN KIBAR #BenderaPutih USAHA MURNI BANTU RAKYAT SEMASA PANDEMIK



29 Jun 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia melancarkan kempen #BenderaPutih sebagai satu usaha untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan semasa pandemik Covid-19.


Seruan untuk mengibarkan bendera putih di kediaman bagi mereka yang memerlukan ini tular di media sosial sejak pagi tadi dan ramai netizen menyokong baik idea tersebut dan berpendapat ianya suatu usaha murni dalam membantu ‘rakyat bantu rakyat’.


Kempen tersebut meminta mereka yang terputus bekalan makanan atau memerlukan bantuan untuk mengibarkan bendera putih di rumah masing-masing bagi memberi isyarat kepada orang lain menghulurkan bantuan secepat mungkin.


Ramai netizen beranggapan bahawa ia merupakan satu idea yang baik dan memuji idea tersebut, walaupun ada pihak-pihak tertentu tidak bersetuju dengan tindakan itu kerana bagi mereka ia seperti kekalahan dalam peperangan.


Bagi masyarakat Kadazan di Sabah pula, bendera putih menandakan ada kematian.


Seorang netizen berkata, kempen kibar bendera putih sebagai tanda meminta bantuan tidak salah kerana ia bertujuan murni untuk membantu masyarakat yang susah.


"Kepada semua yang susah dan tiada makanan, naikkan bendera putih di kediaman anda. Biar orang sekeliling pakat bantu sedikit sebanyak yang termampu. Tolong jangan ambil tindakan dengan meremukkan hati orang yang tersayang. Tak perlu merayu, tak perlu malu. Kibar saja bendera," kata seorang pengguna di Twitter.


"Kempen bendera putih ini sangat menyentuh hati. Melihat bagaimana kita bangkit dan bersatu teguh membantu sesama insan semasa keadaan yang susah ini menunjukkan solidariti kita sebagai rakyat Malaysia


"Mari kita bantu sesama dengan menaikkan bendera putih.


"Jangan ambil tindakan yang merugikan diri sendiri dan keluarga. Tidak perlu rasa malu. Hanya kibarkan kain putih.Semoga ada yang datang membantu.”


Sementera itu, ada pula yang berpendapat bahawa kempen ini menunjukkan bahawa kerajaan telah gagal dalam menangani pandemik Covid-19 sehinggakan rakyat terpaksa mengambil tindakan untuk mencetuskan kempen tersebut bagi menolong sesama.


"Malaysia nowadays, rakyat tolong rakyat.


"Kempen bendera putih ini tercetus kerana kegagalan pemimpin politik, wakil rakyat serta apparatus pemerintah untuk membantu rakyat. Apa lagi yang kami, marhaen ini boleh lakukan untuk bantu sesama kami? Ini usaha kami. Biar rakyat bantu rakyat!


"Sangat menyedihkan bagaimana rakyat Malaysia perlu bantu sesama sendiri tanpa bantuan dari kerajaan. Padahal ianya hak kita untuk mendapatkan sebarang bentuk bantuan, kenape semua benda perlu jadikan isu politik?


"Kempen bendera putih ini sangat menyentuh hati tetapi menyedihkan pada masa yang sama. Satu usaha yang mungkin tidak akan wujud sekiranya kita ditadbir oleh pemimpin yang benar-benar kisah tentang rakyat.


Kempen #BenderaPutih mendapat perhatian di semua media sosial dan telah mencapai hampir lebih 30,000 retweets serta menjadi top trending di Twitter sehingga petang tadi.


Commentaires


bottom of page