Kemuka tuntutan palsu RM200,000, pemilik syarikat ditahan SPRM Sabah

29 Julai 2024
KOTA KINABALU : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah hari ini menahan seorang pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan tuntutan mengandungi butiran palsu bagi tujuan mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dua buah sekolah di Sabah bernilai kira-kira RM200,000.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia sekitar 60-an ditahan kira-kira jam 9 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM cawangan Tawau.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan tersebut pada tahun 2020.
“Suspek disyaki telah menggunakan penyata akaun bank palsu bagi mendapatkan sebut harga kerja-kerja baik pulih dan penyelenggaraan dua buah sekolah di negeri tersebut di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi (PPE),” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, esok.
Comments