Kenderaan persendirian tidak perlu lagi lekat ‘roadtax’
10 Februari 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KUALA LUMPUR: Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa kenderaan persendirian tidak lagi perlu untuk mempamerkan ‘road tax’ (Lesen Kenderaan Motor) pada kenderaan berkuatkuasa hari ini.
Sebaliknya, pemilik kenderaan persendirian hanya perlu menggunakan mod digital.
Langkah mod digital itu dibuat selaras Seksyen 20 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) di mana ‘setiap Lesen Kenderaan Motor (LKM) hendaklah dilekatkan dan dipamerkan pada kenderaan berkenaan’ tidak lagi dikuatkuasakan bagi fasa pertama pelaksanaan ini.
Pengecualian ini akan diwartakan di bawah kuasa yang diberi kepada Menteri Pengangkutan di bawah Seksyen 127 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Loke berkata, inisiatif ini diambil bagi mengatasi isu pelekat ‘road tax’ yang kerap rosak namun pada ketika ini, ia hanya terpakai pada kenderaan persendirian individu termasuk pemilik motosikal sebelum diperluas ke fasa seterusnya.
Bagaimanapun, pemandu masih boleh memilih untuk melekat Lesen Kenderaan Motor (LKM) pada kenderaan masing-masing.
Bagi fasa pertama ini, ada tiga kategori pemilik kenderaan yang masih wajib mempamerkan LKM iaitu LKM persendirian syarikat, kenderaan milik warga asing dan kenderaan perdagangan (kenderaan barang dan perkhidmatan awam).
Selain itu, Loke juga mengumumkan bahawa Lesen Memandu Malaysia (LMM) juga tidak lagi diwajibkan untuk dibawa semasa memandu.
Katanya, terdapat empat kategori yang masih perlu mengemukakan LMM iaitu pemegang lesen belajar memandu (LDL), pemegang lesen vokasional, pemegang lesen memandu warga asing dan pemegang lesen memandu negara luar oleh warga asing.
Orang awam digalakkan mendaftar akaun masing-masing secara digital melalui portal awam JPJ [https://public.jpj.gov.my/] ataupun aplikasi mobile MyJPJ yang boleh dimuat turun dari App Store, Play Store ataupun Huawei App Gallery.
Comments