Kenyataan Tajuddin bukti Anwar tidak bohong: Shamsul Iskandar
top of page
  • Farid Johan

Kenyataan Tajuddin bukti Anwar tidak bohong: Shamsul Iskandar


Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin

29 Jun 2022

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, pendedahan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bahawa wujud gerakan mendapatkan tanda tangan Ahli Parlimen untuk menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri jelas membuktikan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak berbohong sebelum ini.


Beliau berkata, kenyataan Tajuddin itu mengabsahkan ikhtiar Pakatan Harapan (PH) untuk mengambil semula mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum 2018.


“Kenyataan beliau (Tajuddin) menjelaskan bahawa memang benar PH dan Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai jumlah sokongan ahli-ahli Parlimen yang mencukupi untuk merampas semula kerajaan selepas mandat rakyat dikhianati melalui langkah Sheraton.


“Justeru, ejekan sebahagian khalayak yang melantunkan kata-kata kononnya Datuk Seri Anwar berbohong apabila menyatakan bahawa beliau mempunyai sokongan yang kukuh dan meyakinkan pada 22 September 2020 telah pun terjawab dengan sendirinya,” katanya dalam kenyataan media.


Pada Isnin, Tajuddin melalui sidang media khasnya mendakwa akuan bersumpah (SD) daripada ahli Parlimen UMNO untuk menyokong Anwar menjadi perdana menteri memang wujud.


Tajuddin dipetik sebagai berkata, beliau adalah saksi hidup yang turut menandatangani SD itu walaupun pada awalnya menolak cadangan pucuk pimpinan parti berkenaan.


Shamsul Iskandar berkata, kenyataan Tajuddin menzahirkan bahawa pengkhianatan dan agenda peribadi telah pun menggagalkan usaha dan ikhtiar untuk merampas semula Putrajaya.


“Sewajarnya kita sama sekali tidak boleh memberi ruang dan berkompromi kepada pimpinan yang telah dituduh dan disabitkan di Mahkamah dengan amalan rasuah dan penyelewengan yang menjijikkan.


“Mereka mesti mempunyai hari mereka di mahkamah kerana undang-undang mesti dibenarkan untuk mengambil jalannya,” katanya.

bottom of page