top of page

Kepentingan memulihara gajah dan hidupan liar ditekankan di peringkat sekolah

nabalunews



26 September 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


BELURAN: Kerajaan negeri sentiasa mengambil pelbagai langkah dan inisiatif dalam mengurangkan konflik antara manusia dan gajah di negeri ini.


Pegawai Daerah Beluran, Roger Appolonius, berkata, antaranya menerusi penubuhan kumpulan pengiring gajah dalam kalangan warga kampung, pelantikan warden kehormat hidupan liar bagi memantau pergerakan gajah dan menyelenggara pagar elektrik yang dipasang secara bersepadu.


Katanya selain itu, latihan turut diberikan

kepada warden yang terdiri daripada komuniti tempatan serta pemegang taruh mengenai cara mengiring gajah dan mengenali tingkah laku haiwan itu.


Jelasnya, turut dilaksanakan kajian mendalam bagi memahami pergerakan gajah bagi mencari penyelesaian yang efektif.


Tambahnya, dalam memastikan kejayaan usaha berkenaan, semua pihak perlu terus berganding bahu dalam mengatasi isu konflik manusia-gajah di Sabah.


Roger menyatakan perkara itu ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Gajah Sedunia 2024 yang dianjurkan bersama oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, Sandakan bersama Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) dan Earthworm Foundation di Desa Talisai South, KLK, Beluran, hari ini.


Teks ucapan Roger disampaikan oleh Penolong Pegawai Pembangunan Daerah (ADDO) Daerah Beluran, Gilbert Jussip.


Majlis itu turut dihadiri Pegawai Hidupan Liar Sandakan, Hussein Muin, Pengurus Besar, Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) Wilayah Sandakan, Saparuddin Rabayani serta wakil dari Earthworm Foundation, ibubapa, guru dan murid-murid sekitar daerah Beluran dan Telupid.


Juga dilancarkan, Renjer Muda Hidupan Liar Sekolah Kebangsaan (SK) Labuk Subur, Beluran.


SK Labuk Subur, Beluran adalah sekolah pertama di Beluran yang menubuhkan unit renjer muda.


Roger merakamkan penghargaan kepada pihak KLK atas usaha membantu renjer muda sekolah berkenaan serta bimbingan dari Jabatan Hidupan Liar serta pihak sekolah dan pihak berkenaan.


Katanya usaha ini dapat memupuk semangat cintakan hidupan liar bermula dari sekolah dan menjadi pembimbing rakan sebaya kepada murid yang lain berkenaan pemuliharaan hidupan liar.


Katanya ketika ini terdapat kira-kira 1,500 gajah di Sabah yang turut berhadapan pelbagai cabaran khususnya kekurangan habitat dan sumber makanan selain ancaman jerat yang dipasang oleh pihak tidak bertanggungjawab yang mencederakan dan menyebabkan kematian gajah di negeri ini.

Comments


bottom of page